PETALING JAYA, 10 Mei (Bernama) -- Sebanyak 12 syarikat konsesi lebuh raya bersetuju untuk melaksanakan sistem pembayaran tol terbuka yang akan bermula September ini, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata syarikat berkenaan adalah Lebuhraya Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE), Lebuhraya Damansara - Puchong (LDP); Skim Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT); Lebuhraya Shah Alam (KESAS); Terowong SMART serta Lebuhraya Kuala Lumpur - Putrajaya (MEX).
Katanya ia juga melibatkan Lebuhraya Sungai Besi; Lebuhraya Baru Pantai (NPE); Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH); Lebuhraya Koridor Guthrie; Jambatan Pulau Pinang dan Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE).
“Setakat ini, ini adalah syarikat konsensi yang setuju melaksanakan sistem pembayaran terbuka, yang lain rundingan masih dibuat dan kita berharap ada lagi yang tampil untuk bersama mengambil bahagian,” katanya selepas melawat Pusat Pemantauan Trafik (TMC) Menara Korporat, Persada PLUS di Subang di sini hari ini.
Nanta berkata perbincangan dengan syarikat konsensi mengambil masa yang lama kerana perlu meneliti risiko keselamatan yang akan ditanggung oleh pengguna kad kredit atau debit untuk pembayaran tol.
“Kita nak pastikan semua isu-isu keselamatan itu tidak berlaku jadi kita tidak boleh buat tergesa-gesa pelaksanaannya,” katanya.
Sistem pembayaran tol terbuka yang akan bermula pada pertengahan September ini adalah inisiatif kerajaan untuk memberikan pilihan cara pembayaran tol kepada pengguna selain daripada menggalakkan kaedah pembayaran secara Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), kad Touch n Go dan SmartTag.
Mengenai usaha untuk menaik taraf beberapa laluan lebuh raya, Nanta berkata kerja-kerja awalan kini sedang dilakukan termasuk melebarkan laluan Lebuhraya Pasir Gudang dan Sedenak, Johor membabitkan peruntukan RM525 juta.
“Peruntukan adalah di bawah Belanjawan 2023 dan apabila telah diluluskan, kerja-kerja awal sudah dibuat dan kita serahkan pada PLUS untuk melaksanakan sepenuhnya,” kata beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial