SUKAN

AARON-WOOI YIK TERLEPAS SEPARUH AKHIR MASTERS MALAYSIA

27/05/2023 12:15 AM

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Juara dunia beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik terkandas pada peringkat suku akhir Masters Malaysia 2023 di Axiata Arena di sini, hari ini.

Pilihan kedua kejohanan itu gagal mempamerkan prestasi terbaik mereka apabila dikejutkan pilihan kelapan Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin dari Indonesia, 18-21, 19-21 selepas 52 minit. 

Wooi Yik yang kecewa, mengakui aksi Leo-Daniel lebih baik hari ini dan mereka lebih bersedia.

“Kami tidak cukup sabar. Kami telah cuba yang terbaik namun mereka lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Ditanya mengenai misi seterusnya, Wooi Yik berkata mereka tidak akan menyertai Terbuka Thailand di Bangkok pada 30 Mei-4 Jun ini dan kembali beraksi pada Terbuka Singapura pada 6-11 Jun.

Sementara itu, Leo-Daniel akan menentukan tempat ke final dengan menentang satu lagi beregu kebangsaan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Terdahulu, Wei Chong-Kai Wun membuat kejutan dengan mengejutkan bekas juara dunia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia 23-21, 21-17 yang juga merupakan kemenangan terbesar dalam kerjaya mereka setakat ini. 

Selain itu, beregu profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi juga gagal mara ke pusingan seterusnya selepas tewas kepada beregu Korea Selatan Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae 21-15, 16-21, 14-21.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan