AM

APMM TAHAN KAPAL KARGO INDONESIA BAWA LEBIH 20,000KG SERBUK BIJIH TIMAH

07/06/2024 06:10 PM

JOHOR BAHRU, 7 Jun (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Mersing menahan sebuah kapal kargo Indonesia dengan muatan lebih 20,000 kilogram serbuk bijih timah dianggarkan bernilai kira-kira RM2.6 juta kerana membawa barang berduti tanpa kebenaran pihak berkuasa di Jeti Pendaratan Ikan Sungai, Endau, Mersing, semalam.

Pengarah Zon Maritim Mersing Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata kapal kargo itu dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh bot ronda APMM semasa melakukan Op Jaksa dan Op Tiris di kedudukan lebih kurang 0.9 batu nautika timur Tanjung Kempit sekitar pukul 5 petang semalam. 

“Hasil pemeriksaan kapal kargo itu dilaporkan tiba dari Tanjung Pinang, Indonesia membawa muatan kira-kira 20,040 kilogram serbuk bijih timah untuk dihantar ke jeti di Tanjung Gemok, Rompin, Pahang.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda kapal itu tidak memaklumkan ketibaan kepada pihak berkuasa, dan gagal mengemukakan dokumen kebenaran daripada pihak berkuasa untuk mengangkut barang berduti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata nakhoda bersama lima kru kesemuanya merupakan warganegara Indonesia berumur lingkungan 22 hingga 46 tahun dibawa ke Zon Maritim Mersing untuk siasatan lanjut, dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967, Ordinan PerkapalanSaudagar 1952 dan Akta Imigresen 1959/63.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan