AM

Ksm Rancang Guna Kaedah Kursus Modul Tarik Minat Orang Asli Sertai Tvet

03/06/2023 07:04 PM

SUNGAI SIPUT, 3 Jun (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KSM) bercadang menggunakan kaedah kursus secara modul (modular) bagi menarik minat anak muda Orang Asli menyertai Program Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET).

Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar berkata adakalanya golongan berkenaan tidak berminat mempelajari suatu kemahiran kerana ia mengambil tempoh yang panjang untuk dipelajari. 

Beliau berkata kaedah modular sebaliknya membolehkan golongan berkenaan memperoleh sesuatu kemahiran dalam masa dua bulan pertama sahaja, sebelum terus mempelajari kemahiran lain.

“Selepas tempoh dua bulan pertama, mungkin dia (anak muda Orang Asli) sudah mempunyai kemahiran tertentu, dan dengan kemahiran itu dia sudahpun mula bekerja. Selepas itu mungkin dia nak tambah pengetahuan atau kemahiran lain,” katanya pada Program TVET dan Kerjaya Orang Asli di Orang Asli One Stop Centre (OAOSC) Bawong, di sini hari ini.

Selain itu Sivakumar berkata KSM juga bercadang menggunakan kaedah program in situ iaitu membawa kursus berkaitan kemahiran tinggi ke kawasan tempat tinggal anak muda Orang Asli bagi menggalakkan penyertaan mereka.

Menerusi program hari ini, beliau berkata peserta terutama golongan belia dalam komuniti Orang Asli diberikan pendedahan kepada pelbagai bidang kemahiran berasaskan TVET seperti teknologi elektrik, pemasangan perancah (scaffolding), kulinari dan pastri, solekan dan dandanan rambut, serta penghasilan kraf tangan. 

Menurutnya peserta berpeluang menggunakan peralatan dan kelengkapan latihan yang dibawa oleh para pempamer untuk meningkatkan kefahaman dan minat mereka dalam bidang-bidang berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan