AM

KESUMA CADANG PERKENAL KURSUS PREMIER DI 32 ILP NEGARA

24/07/2024 05:36 PM

KUALA NERUS, 24 Julai (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bercadang mewujudkan kursus premier di setiap 32 Institut Latihan Perindustrian (ILP) di seluruh negara. 

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata ia merupakan antara langkah pemerkasaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia. 

"Setiap ILP akan ada kursus premier sendiri mengikut kawasan dan bidang itu akan lebih diperkukuh. Ada perkara yang apabila kita fikirkan akan beri peluang kepada pelajar, itu yang akan kita buat.

"Bagaimanapun, saya tidak boleh umum secara terperinci lagi. Ia perlu dibawa ke mesyuarat pasca-Kabinet dahulu untuk dapat persetujuan," katanya selepas merasmikan penutup Karnival Jelajah MADANI Jom Masuk TVET Zon Timur 2024 di ILP Kuala Terengganu di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata perancangan itu susulan permintaan tinggi daripada pelajar dan pelbagai pihak misalnya ILP Pengerang, Johor yang memfokuskan bidang minyak dan gas.

“Lebih 90 peratus lepasan ILP Pengerang akan bersama industri minyak dan gas … ia dapat dibuktikan sebab saya sendiri sudah melawat kawasan terbabit.

“ILP Kuala Terengganu pula yang tertumpu dalam program (kejuruteraan) mekanikal, elektrik dan sivil menyumbang 35 peratus tenaga mahir negara. Jumlah itu bukan kecil, maksudnya program ILP Kuala Terengganu sangat berjaya dalam menyumbang tenaga mahir untuk negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan