AM

PEMBAHAGIAN KUASA PENGERUSI, KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF SKM PERKUKUH TADBIR URUS

07/06/2023 07:10 PM

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Pembahagian kuasa antara pengerusi dan ketua pegawai eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan memperkukuhkan tadbir urus suruhanjaya berkenaan dalam memperkasakan serta menggalakkan pembangunan gerakan koperasi di negara ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata di bawah struktur baharu melalui pindaan Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia 2007 (Akta 665), jawatan pengerusi dan ketua pegawai eksekutif SKM akan dipegang dan dilaksanakan oleh dua individu yang berbeza.

“SKM akan diterajui oleh pengerusi yang bertanggungjawab dalam menetapkan dasar dan hala tuju SKM. Lembaga Pengarah SKM boleh mewakilkan mana-mana kuasa atau fungsinya di bawah Akta 665 dan Akta Koperasi 1993 atau Akta 502 kepada ketua pegawai eksekutif.

“Ketua pegawai eksekutif yang berstatus pekerja SKM pula bertanggungjawab bagi pentadbiran, pengurusan fungsi dan hal ehwal harian SKM keseluruhannya serta bertindak sebagai pelaksana ke atas dasar-dasar yang ditetapkan Lembaga Pengarah di samping menjadi sebahagian daripada anggota Lembaga Pengarah,” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Koperasi Malaysia (Pindaan) 2023 yang kemudiannya dibahaskan 12 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, di sini hari ini. 

Ewon berkata Akta 665 sebelum ini telah memperuntukkan struktur pengawasan oleh lembaga pengarah SKM dalam menentukan dasar dan hala tuju serta pentadbiran dan pengurusan hal ehwal badan itu.

Bagaimanapun, selari dengan perkembangan semasa, beliau berkata fungsi SKM wajar terus diperkukuhkan agar badan tersebut dapat mengawal selia gerakan koperasi untuk terus berkembang dan berdaya maju. 

Ewon berkata di samping pembahagian kuasa antara pengerusi dan ketua pegawai eksekutif, komposisi lembaga pengarah SKM juga ditambah baik melalui pindaan akta tersebut.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan