EKONOMI

Bursa Malaysia Umum Tambahan Syarikat Dalam Indeks F4gbm & Indeks F4gbms

08/06/2023 10:22 PM

KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia Bhd mengumumkan perubahan konstituen Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia (F4GBM) dan Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia Shariah (F4GBMS) susulan semakan separuh tahun terkini ke atas indeks itu.

Indeks F4GBM akan menyaksikan penambahan lapan syarikat dan pengguguran tujuh syarikat sekali gus menjadikan jumlah konstituen sebanyak 981.

Indeks F4GBMS pula akan mengalami penambahan enam syarikat manakala tujuh syarikat digugurkan, menjadikan jumlah konstituen sebanyak 77.

Dalam kenyataan pada Khamis, bursa saham itu menjelaskan perubahan konstituen terbabit akan berkuat kuasa pada awal perniagaan Isnin, 19 Jun ini.

Kedua-dua indeks itu disemak pada setiap Jun dan Disember berbanding penanda aras antarabangsa.

Konstituen baharu Indeks F4GBM ialah Berjaya Corp, Berjaya Food, FM Global Logistics Holdings, Heineken Malaysia, Hextar Global, Lagenda Properties, Tasco dan UWC.

Manakala pengguguran melibatkan CJ Century Logistics Holdings, DSKH Holdings (M), FGV Holdings, Media Chinese International, SCGM, Sunway Real Estate Investment Trust dan Vitrox.

Penambahan ke dalam indeks syariah pula membabitkan Berjaya Food, FM Global Logistics Holdings, Hextar Global, Lagenda Properties, Tasco dan UWC.

Sementara itu CJ Century Logistics Holdings, DSKH Holdings (M), FGV Holdings, Malaysia Airports,  Media Chinese International, SCGM dan Vitrox digugurkan.

Indeks F4GBM, yang dilancarkan pada Disember 2014 dengan 24 konstituen, menilai prestasi syarikat senaraian awam (PLC) yang menunjukkan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang teguh.

Konstituen dipilih daripada syarikat di bawah Indeks FTSE Bursa Malaysia Emas, meliputi PLC merentas segmen permodalan pasaran kecil, sederhana dan besar.

Sementara itu, Indeks F4GBMS dilancarkan pada Julai 2021 dengan 54 konstituen untuk mengenal pasti konstituen dalam F4GBM yang patuh syariah berdasarkan metodologi saringan Majlis Penasihat Syariah.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan