EKONOMI

ENAM BELAS USAHAWAN SELANGOR TERIMA GERAN & PEMBIAYAAN LEBIH RM64JUTA

11/06/2023 06:18 PM

SHAH ALAM, 11 Jun (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah menyerahkan geran perniagaan serta kemudahan pembiayaan bernilai lebih RM64 juta kepada 16 usahawan Selangor sempena Program Jelajah Usahawan dan Koperasi MADANI (PJUKM 2023) hari ini.

Kesemua penerima itu terdiri daripada usahawan bimbingan agensi di bawah KUSKOP, antaranya SME Corporation Malaysia, Amanah Ikhtiar Malaysia, UDA Holdings Berhad, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Tekun Nasional.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata inisiatif tersebut dilihat mampu menjamin kelangsungan serta kelestarian komuniti usahawan dan koperasi dalam mendepani cabaran persekitaran ekonomi global yang tidak menentu.

"Kita mahukan usahawan dan koperasi sedia ada terus berjaya, manakala usahawan baharu pula tumbuh bak cendawan. Itulah yang diperjuangkan di bawah Dasar Keusahawan Nasional 2030 untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah negara keusahawanan unggul menjelang 2030," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika berucap pada Majlis Perasmian PJUKM 2030 Selangor di sini hari ini yang dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, turut dihadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, K. Saraswathy serta Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Seri Suriani Ahmad.

Ewon juga berharap agar pihaknya dan Kerajaan Selangor terus bersatu dalam membangunkan usahawan ke arah menjayakan konsep 'Kesejahteraan' di bawah Kerajaan MADANI sepertimana yang dihasratkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan