AM

CALON SPM 2022 TIDAK DUDUKI PEPERIKSAAN BOLEH IKUTI KURSUS TVET - EXCO

21/06/2023 03:00 PM

IPOH, 21 Jun (Bernama) -- Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di Perak yang tidak hadir menduduki peperiksaan berkenaan dipelawa menyertai kursus berasaskan kemahiran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah berkata bagaimanapun ia terpulang kepada kehendak individu tersebut dan tidak ada sebarang paksaan.

"Apabila mereka tidak menduduki SPM, kerajaan negeri dan Persekutuan sentiasa memberi ruang dan peluang untuk mereka mengikuti kursus TVET bagi memperbaiki pencapaian akademik mereka.

"Ini kerana apabila mereka mempunyai kemahiran tertentu, mereka boleh mencari peluang pekerjaan berdasarkan kemahiran yang ada," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program 3R (Read, Record and Reward) di Perpustakaan Awam Dato' Seri Husni di Chemor di sini hari ini.

Sabtu lepas, Khairudin dilaporkan berkata seramai 1,106 calon SPM 2022 di negeri itu tidak hadir untuk menduduki peperiksaan berkenaan antaranya mereka sudah bekerja atau hilang minat meneruskan pelajaran.

Sementara itu, Khairudin berkata jumlah guru yang memohon untuk bersara lebih awal di negeri ini lebih ramai berbanding mereka yang bersara wajib, namun setakat ini pihaknya tidak mempunyai statistik mengenai perkara itu. 

"Antara faktor menarik guru bersara awal ialah mereka tiada lagi tanggungan kerana anak-anak telah tamat belajar dan telah bekerja selain guru terbabit tidak boleh menguasai atau mengikuti perkembangan sistem pendidikan yang sentiasa dinamik," katanya.

Menurut Khairudin tindakan guru memilih untuk bersara awal memerlukan kajian secara mendalam kerana mereka yang telah lama berkhidmat memiliki kemahiran dan kepakaran tersendiri.

"Sebagai contoh, jika guru itu hebat dari segi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), kejurulatihan dan kemenjadian pelajar, guru itu ada kepakaran. 

Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan guru Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris antara paling ramai yang memohon bersara awal sejak dua tahun lepas.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilaporkan berkata berdasarkan rekod, bilangan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) yang memohon persaraan pilihan berdasarkan enam opsyen utama tertinggi adalah Bahasa Melayu iaitu 2,862, Bahasa Inggeris (1,146) dan Matematik (1,015).

Fadhlina berkata ia diikuti guru Pendidikan Islam (755), Sains (629) dan Sejarah (483) manakala bagi 2023, kelulusan permohonan bersara pilihan masih dalam pertimbangan pihak agensi pusat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan