AM

KEDA AMBIL INISIATIF BANTU PELAJAR LEMAH AKADEMIK CEBURI BIDANG TVET

27/06/2024 09:18 PM

SUNGAI PETANI, 27 Jun (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) mengambil inisiatif bagi membantu pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang kurang cemerlang dalam akademik untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Pengurus Besar KEDA Ismasuhaimi Shariff berkata KEDA berbangga dengan pencapaian cemerlang yang diraih pelajar-pelajar, namun dalam masa sama tidak mahu pelajar yang memperoleh keputusan yang kurang memberangsangkan dalam SPM ketinggalan.

"Kita ambil inisiatif untuk membuka peluang kepada mereka yang lemah dalam akademik menceburi bidang TVET atau kemahiran.

"TVET adalah salah satu pilihan untuk mendapatkan pekerjaan yang menawarkan gaji yang lebih baik untuk mereka apabila memasuki alam pekerjaan kelak," katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Kecemerlangan Akademik SPM 2023 Anak-Anak Desa KEDA di Sungai Pasir, di sini hari ini.

Menurut beliau, strategi serampang dua mata yang dilaksanakan KEDA itu bukan hanya memberi tumpuan kepada pelajar yang cemerlang dalam akademik sebaliknya turut membantu mereka yang lemah dalam akademik yang mempunyai minat dalam bidang kemahiran.

"Kita akan asuh mereka ikut minat masing-masing...itu fokus KEDA demi masa depan anak-anak luar bandar dan kesejahteraan masyarakat luar bandar.

"Kita akan cari dan bimbing mereka buat pilihan yang tepat...SPM adalah permulaan kepada perjalanan hidup dan permintaan terhadap tenaga kerja mahir sangat tinggi," katanya.

Sementara itu, seramai 25 anak-anak Desa KEDA yang memperoleh keputusan cemerlang SPM 2023 diraikan pada majlis tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismasuhaimi berkata KEDA dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Kedah (JPNK) akan melaksanakan program Tuisyen Pintar@KEDA dan 100 Permata Negeri Kedah dengan jumlah peruntukkan sebanyak RM450,000.

"Program Tuisyen Pintar@KEDA melibatkan 113 buah sekolah di seluruh Kedah melalui peruntukan Program Pemerkasaan Generasi Pewaris (GEN).

"KEDA menjadi agensi yang menyokong kepada JPN dalam memperkasa generasi Pewaris bagi melahirkan 100 pelajar cemerlang mendapat A dalam semua mata pelajaran," katanya.

Melalui Program 100 Permata Negeri Kedah itu, JPNK akan mengenal pasti 100 pelajar tingkatan 3 yang berpotensi bagi tahun 2024 untuk dibimbing dan dipantau prestasi secara khusus dengan siri latihan dan kelas agar mereka boleh menjadi pencetak kejayaan negeri ini untuk SPM 2026, tambah beliau.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan