AM

Air Terjun Gunung Ledang Dibuka Semula Sabtu Ini

02/07/2023 03:48 PM

JOHOR BAHRU, 2 Julai (Bernama) -- Air Terjun Gunung Ledang di Tangkak akan dibuka semula kepada orang ramai mulai 8 Julai ini selepas setahun ditutup.

Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) memaklumkan penutupan Air Terjun Gunung Ledang disebabkan pengambilalihan pengurusan operator sebelum ini selain bagi menjalankan kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf kemudahan awam di kawasan itu.

Menurut PTNJ pembukaan semula kepada orang ramai merupakan usaha kerajaan negeri untuk membawa limpahan ekonomi kepada peniaga tempatan dan masyarakat sekitar. 

"Bagi memastikan keselamatan terkawal dan tahap kebersihan terjaga, jumlah kemasukan ke kawasan air terjun dihadkan kepada 2,000 pengunjung pada satu-satu masa,” menurut PTNJ dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, menurut PTNJ resort bagi penginapan di Air Terjun Gunung Ledang masih belum beroperasi dan kehadiran pelawat hanya melibatkan kemasukan harian. 

Menurut kenyataan itu pelawat disaran membawa plastik sampah sendiri atau membelinya daripada pihak PTNJ bagi tujuan membawa keluar sampah masing-masing dari kawasan rekreasi berkenaan dengan tong sampah turut disediakan di luar kaunter pembelian tiket.

Kenyataan itu turut memaklumkan bagi menghargai kesabaran dan penantian orang ramai susulan penutupan air terjun berkenaan, PTNJ akan menganjurkan Karnival Gunung Ledang selama tiga hari bermula Sabtu ini.

Menurut PTNJ pelbagai aktiviti dan pengisian menarik akan diadakan seperti Karnival Tanah Daerah Tangkak, pameran oleh agensi kerajaan dan swasta, Fun Run, Fun Ride, gerai jualan, pemeriksaan kesihatan, pertandingan karaoke, pertunjukan motorsikal, pertandingan mewarna serta apresiasi bahasa dan sastera.

Perbadanan itu turut bersetuju membenarkan orang awam masuk secara percuma sepanjang tempoh tiga hari karnival itu berlangsung.

Sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi PTNJ menerusi talian 069772254 (pejabat), 0137440953 atau 0137440961.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan