EKONOMI

Tm Namakan Zainal Abidin Sebagai Pengerusi Baharu, Amar Huzaimi Sebagai Md, Gceo baharu

08/07/2023 02:10 AM

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Telekom Malaysia Bhd (TM) mengumumkan pelantikan Datuk Zainal Abidin Putih sebagai Pengerusi baharunya, menggantikan Tan Sri Azlan Hashim, berkuat kuasa 1 Ogos, 2023.

Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan telekomunikasi itu turut mengumumkan pelantikan Amar Huzaimi Md Deris sebagai Pengarah Urusan (MD) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) yang baharu, berkuat kuasa 1 Ogos, menggantikan Datuk Imri Mokhtar.

Azlan dan Imri akan melengkapkan penggal masing-masing pada 31 Julai, 2023.

Menurut TM, Zainal Abidin akan bertanggungjawab untuk menyelia keseluruhan tadbir urus dan hala tuju strategik TM.

“Beliau akan bekerjasama rapat dengan lembaga pengarah dan pasukan pengurusan bagi memacu gelombang pertumbuhan seterusnya untuk TM dan mengukuhkan kedudukan pasarannya.

“Dengan pelantikan Amar Huzaimi  sebagai MD/GCEO baharu, TM yakin ia akan terus berinovasi dan berkembang, membina kejayaan dan meningkatkan lagi peranannya sebagai pengupaya Digital Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Amar Huzaimi berkata Imri telah menetapkan laluan yang betul untuk TM, dengan asas yang diperkukuh daripada pemulihan dan mengejar bidang pertumbuhan baharu – mencatatkan peralihan daripada syarikat telekomunikasi (telco) kepada syarikat teknologi (techno).

 “Saya berbangga menjadi sebahagian daripada perjalanan itu, dan kini, saya bersemangat untuk mengikut dan menerajui TM ke peringkat seterusnya,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan