AM

NAIO: Fokus Pembangunan AI Sokong Sektor Industri, Perkasa Wanita Dalam Teknologi

09/10/2024 02:58 PM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) yang akan dilancarkan pada November ini, memberi fokus kepada pelbagai inisiatif pembangunan AI bagi menyokong sektor industri termasuk usaha memperkasa golongan wanita.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata usaha ini penting kerana wanita memainkan peranan signifikan dalam pelbagai sektor dan harus diberikan peluang mencukupi bagi memperkukuhkan peranan mereka dalam bidang teknologi.

“Satu daripada inisiatif pejabat ini adalah untuk menggariskan inisiatif tertentu yang boleh memberi manfaat kepada semua sektor, termasuk golongan wanita. Saya harap apabila NAIO ditubuhkan kita boleh bincang polisi-polisi yang akan dibangunkan bagi mengatasi cabaran yang dihadapi wanita.

“Acara pagi ini, hasil kolaborasi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan Women In Tech (WIT) Malaysia, telah memberi kita pemahaman lebih mendalam tentang cabaran dihadapi oleh wanita dan bagaimana kerajaan boleh merangka polisi atau langkah-langkah berkesan untuk membantu mengatasi masalah tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas berucap pada Sidang Kemuncak dan Anugerah WIT APAC di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu, Gobind menyaksikan pertukaran memorandum kerjasama antara Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Anuar Fariz Fadzil dan Pengarah WIT Malaysia Yuki Aizawa.

Dalam ucaptamanya, Gobind menekankan impak global WIT yang mengetengahkan usaha meningkatkan penyertaan wanita dalam pendidikan teknologi, dibuktikan menerusi kejayaan kempen bersama 42 sekolah tempatan.

“Begitu juga program mentor Girls-for-Girls yang akan memperkasakan lebih 1,000 wanita muda pada tahun ini sahaja. Saya telah dimaklumkan bawah WIT Malaysia sedang membuka lembaran baharu di Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. Inilah cara terbaik untuk galakkan lebih ramai wanita terlibat dan teruja dengan teknologi.

“WIT Malaysia mengalu-alukan kerjasama dengan Kementerian Digital terutamanya dalam program yang menyasarkan belia kita,” katanya.

Selain itu, menurut Gobind, MDEC menyasarkan peningkatan tahunan sebanyak lima peratus dalam penyertaan wanita menerusi inisiatif Ninja Digital tahun depan, dengan matlamat peringkat kebangsaan mempunyai 50 peratus pelajar perempuan mencapai tahap Pertengahan Digital dalam Skor Kecekapan Digital Kebangsaan.

Sidang Kemuncak dan Anugerah WIT APAC edisi ketiga berlangsung selama dua hari bermula semalam, menampilkan pelbagai aktiviti termasuk bengkel, perbincangan rakan sebaya, panel penyelesaian masalah dan berdebatan ala Oxford, yang memberi peluang kepada peserta bekerjasama, berkongsi pandangan, mendefinisikan projek dan mewujudkan hala tuju.

Dalam perkembangan lain, menteri mengumumkan program dalam talian AI Untuk Rakyat telah melibatkan lebih 1.3 juta rakyat Malaysia hanya dalam tempoh sembilan bulan.

Gobind berkata 52 peratus daripada pendaftar adalah wanita, menunjukkan penglibatan yang signifikan daripada peserta wanita.

“Ini menggalakkan dan mencerminkan minat yang semakin meningkat dalam teknologi,” katanya.

Inisiatif AI Untuk Rakyat yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Jan lepas, merangkumi komitmen kerajaan untuk memperkasakan rakyat Malaysia dengan pengetahuan penting tentang AI.

Program ini direka untuk mencetuskan rasa ingin tahu dalam kalangan belia, memberi inspirasi kepada mereka untuk menganggap AI sebagai bidang pengajian berdaya maju dan menarik.

Pada 5 Jun, Gobind berkata program AI Untuk Rakyat telah berjaya melibatkan lebih satu juta rakyat Malaysia yang dicapai dalam masa singkat dan melebihi sasaran awal satu juta peserta dalam tempoh setahun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan