AM

PM UMUM TAMBAHAN RM1.4 BILION TAMBAH BAIK SEKOLAH DAIF SELURUH NEGARA

23/07/2023 10:12 PM

KOTA BHARU, 23 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1.4 bilion bagi menambah baik bangunan sekolah yang daif di seluruh negara pada tahun ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata peruntukan itu antaranya untuk menambah baik bangunan sekolah daif seperti di Kelantan sebanyak RM185.37 juta, Terengganu (RM78.93 juta) dan Pahang (RM64.15 juta).

"Peruntukan ini bukan disebabkan nak mengundi (Pilihan Raya Negeri) tetapi disebabkan keperluan. Bayangkan, untuk satu tahun saya tambahkan peruntukan RM1.4 bilion," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada seorang guru ketika sesi soal jawab pada Program Cakna MADANI Bersama Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Kementerian Pendidikan di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini hari ini.

Pada majlis yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan 1,500 warga pendidik dari Kelantan, Terengganu dan Pahang itu, Anwar berkata sebanyak 50,000 unit komputer riba juga telah diluluskan untuk kegunaan sekolah dan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan, dijangka diperoleh pada Oktober ini.

“Perkara ini sedikit lewat (perolehan) komputer memandangkan ia berkait dengan tender. Kebiasaannya proses tender akan memakan masa hingga enam bulan. Kalau tiada tender, akan berlaku ‘sakau’, bahaya. 

"Kalau kes-kes (keperluan) mendesak dan lain-lain projek besar saya akan berunding dengan Kementerian Kewangan untuk beri kelonggaran ikut proses tender terhad dan disegerakan supaya dapat diselesaikan dalam tempoh hanya tiga bulan," katanya.

Perdana Menteri turut memaklumkan untuk memperkasakan program digitalisasi di institusi pendidikan, sebanyak RM4.4 juta diperuntukkan untuk Kelantan, RM2.2 juta (Terengganu) dan RM2.9 juta (Pahang).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan