EKONOMI

PERNAS SASAR POTENSI PEMBIAYAAN RM5 JUTA DARI BIZFRANCIS@SARAWAK

29/07/2023 05:15 PM

KUCHING, 29 Julai (Bernama) -- Perbadanan Nasional Bhd (Pernas) melalui kerjasama dengan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak menetapkan sasaran potensi pembiayaan bernilai RM5 juta melalui penganjuran Program Bizfrancais@Sarawak 2023.

Pengerusi Pernas Datuk Hazimah Zainuddin berkata Sarawak menjadi negeri kedua dalam siri jelajah enam negeri program berkenaan yang bertujuan memperluaskan peluang keusahawanan serta meningkatkan pertumbuhan industri francais di negeri itu. 

“Keseluruhannya Pernas menyasarkan 156 permohonan dengan potensi pembiayaan bernilai RM26.67 juta bagi keenam-enam negeri terlibat bagi program ini iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Perak, Sabah, Johor dan Pahang,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Bizfrancais@Sarawak 2023 di sini hari ini. 

Siri jelajah kedua yang melibatkan 29 pempamer syarikat francais yang berasal dari dalam dan luar Sarawak ini telah menarik 600 pengunjung yang hadir untuk mendapatkan maklumat yang ditawarkan oleh Pernas.

Dari 2010 sehingga kini, Pernas telah menyediakan pembiayaan berjumlah RM19 juta di Sarawak dengan penglibatan 65 syarikat. 

Katanya, Pernas turut menyasarkan 10 pendaftaran syarikat program Transformasi Perniagaan (BIT) menerusi program BizFrancais di negeri ini, bertujuan membuka peluang kepada perniagaan kecil dan sederhana untuk menjadi perniagaan francais.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dr Ripin Lamat berkata anak Sarawak seharusnya merebut peluang yang diberikan Pernas bagi menceburi industri francais seterusnya merancakkan ekonomi negeri. 

“Kita mahu permohonan untuk penglibatan francais seramai yang mungkin di Sarawak kerana kita mahu aktifkan aktiviti perniagaan dan dengan syarikat francais lebih banyak dikembangkan di sini, ia juga membuka peluang pekerjaan di sesebuah kawasan itu,” katanya. 

Pada majlis sama, Pernas turut menyampaikan cek replika pembiayaan serta sijil penghargaan kepada peserta projek Xcelerator, yang diadakan bagi membimbing dan membangunkan usahawan berpotensi ke arah francais termasuk mendapatkan lesen francais.

Selain itu, Pernas turut menyerahkan sumbangan barangan keperluan kepada golongan asnaf bersempena dengan program tanggungjawab sosial korporat Pernas Prihatin yang memanfaatkan 200 penerima asnaf di sekitar Sarawak dengan kerjasama Tabung Baitulmal Sarawak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan