AM

BEKAS JURUGAMBAR TV3 TERIMA INISIATIF TABUNG KASIH@HAWANA

05/08/2023 03:42 PM

BUKIT MERTAJAM, 5 Ogos (Bernama) -- Bekas jurukamera TV3 Roslee Ramali yang mengalami sakit strok menzahirkan penghargaan atas inisiatif Tabung Kasih@HAWANA menyalurkan bantuan kepada beliau hari ini dalam usaha menjaga kebajikan pengamal media.

Roslee, 57, yang sudah tidak bekerja sejak 2019 berkata beliau terharu dan berterima kasih atas kunjungan pasukan Tabung Kasih@HAWANA ke rumahnya di Jalan Kampung Tok Elong, di sini hari ini.

Beliau yang lumpuh sebelah kanan badan termasuk kaki beberapa kali menahan sebak kerana tidak menyangka menerima bantuan itu yang merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).

"Kali pertama saya kena strok pada 2008, namun selepas menerima rawatan dan menjalani fisioterapi dan mengurut, alhamdullilah sihat semula sebelum kali kedua pada 2017 saya sekali lagi kena strok tapi dalam masa enam bulan saya pulih semula.

"Namun pada 2019, kali ketiga saya diserang strok dan kali ini memang teruk, sebelah badan kanan lumpuh sehingga kini, cuma sekarang ini nampaknya keadaan (strok) makin baik tapi saya ada beberapa masalah kesihatan lain antaranya darah tinggi, masalah jantung dan sakit buah pinggang," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Penyerahan sumbangan KKD, Pusat Pakaian Hari-Hari, Mydin dan Aeon Big itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj di kediaman Roslee di sini. 

Tabung Kasih@HAWANA merupakan inisiatif KKD yang dilaksanakan menerusi Bernama sebagai usaha berterusan membantu komuniti media yang berdepan kesukaran dan cabaran hidup.

Roslee berkata beliau berharap inisiatif Tabung Kasih@HAWANA itu diteruskan supaya lebih ramai bekas pengamal media atau wartawan veteran dijejaki serta mendapat manfaat daripada inisiatif itu. 

“Saya mengucapkan terima kasih atas sumbangan ini, walaupun saya bukanlah orang kenal sangat tapi mereka tidak lupa datang menziarah dan membantu saya," katanya.

Bapa kepada dua anak Mohammad Aiman Afiq, 26, dan Nur Ardini Yasmin, 23, itu berkata isterinya Nurahamima Harun, 47, yang sebelum ini bekerja telah berhenti untuk menguruskan dirinya. 

Sementara itu, Arul Rajoo berkata sejak Tabung Kasih@HAWANA dilancarkan pada Mei lepas, sebanyak 15 bekas wartawan dan pengamal media telah menerima sumbangan wang tunai dan keperluan harian.

Beliau berkata pihaknya menyasarkan sumbangan menerusi inisiatif Tabung Kasih@HAWANA itu dapat diberikan kepada hingga 30 penerima pada tahun ini dengan lebih ramai lagi pada tahun hadapan.

"Kami bekerjasama dengan kelab dan persatuan media di negeri-negeri bagi mengenal pasti pengamal media atau mereka yang telah bersara yang sakit atau memerlukan bantuan agar dapat memaklumkan kepada kami supaya bantuan daripada inisiatif Tabung Kasih@HAWANA dapat disalurkan segera," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan