AM

JANGAN MAINKAN ISU 3R SEMASA PRK JOHOR - KETUA POLIS NEGARA

30/08/2023 10:59 AM

MELAKA, 24 Ogos (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran semua penyokong parti politik yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Johor kelak, agar tidak menyentuh isu-isu sensitif khususnya berkiatan 3R iaitu bangsa, agama dan raja, sepanjang tempoh berkempen.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata ia bertujuan mengelakkan wujudnya ketidakharmonian dalam kalangan rakyat terutamanya institusi diraja, agama dan bangsa sepanjang perjalanan PRK kelak.

"Kita pun tak mahu membuka kertas siasatan isu-isu sebegini dan mengingatkan agar tidak ada lagi isu-isu sensitif ini dimainkan. Saya juga yakin penyokong parti di Johor juga sama seperti penyokong parti yang telah pun mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas.

"Kita tengok masa PRN lepas, ketika penamaan calon, memang tidak ada apa-apa kes dan saya amat yakin di Johor, pengundinya juga sudah matang dalam menghadapi PRK di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Ulang Tahun ke-74 Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam di Balai Istiadat Seri Negeri di sini hari ini.

Pada istiadat berkenaan, Razarudin dianugerahkan Darjah Gemilang Seri Melaka (D.G.S.M) yang membawa gelaran Datuk Seri.

PRK diadakan susulan kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P161 Pulai dan DUN N13 Simpang Jeram berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon pada 26 Ogos, pengundian awal pada 5 Sept manakala 9 Sept sebagai hari mengundi bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan