AM

RAKYAT HARUS HAYATI AMANAT PM SECARA MENDALAM, MESEJ JELAS KUKUHKAN PERPADUAN, GILAP NEGARA

30/08/2023 05:48 PM

PUTRAJAYA, 30 Ogos (Bernama) -- Rakyat Malaysia perlu menghayati amanat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempunyai mesej jelas dalam menggilap negara menerusi perpaduan agar dapat menterjemahkan amalan itu selaras dengan konsep Malaysia MADANI.

Rata-rata anggota Jemaah Menteri menyifatkan konsep yang ditekankan pemimpin nombor satu negara itu mengenai ‘merdeka rakyat’ sangat penting dalam melahirkan masyarakat yang merdeka dari segi jiwa dan mental supaya dapat menyumbang kepada pembangunan negara tanpa terikat dengan pemikiran kolot.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata masyarakat Malaysia perlu menghayati erti sebenar kemerdekaan dengan membebaskan diri daripada belenggu kejumudan dan tidak mensia-siakan perjuangan negarawan terdahulu dalam membebaskan negara daripada cengkaman penjajah. 

"Kemerdekaan yang dicapai oleh pejuang-pejuang kemerdekaan perlu diisi dan yang pentingnya negara sahaja merdeka tidak memberi apa-apa makna jika jiwa kita jumud dan tidak terbuka, inilah pesan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim). 

"Kita juga hendaklah menjadi rakyat yang cintakan negara, semangat sayangkan negara dan sama-sama membina negara agar menjadi sebuah negara yang aman dan damai kepada semua rakyat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan Bersama Perdana Menteri 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pula berkata negara yang telah merdeka secara lahiriah kini berdepan cabaran untuk membentuk jiwa dan pemikiran yang merdeka selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI. 

"Kita sudah ada negara (yang merdeka) secara lahiriahnya tetapi bagaimana kita nak membentuk kemerdekaan untuk jiwa dan pemikiran dan inilah kita perlu dalam membentuk sebuah masyarakat yang mempunyai visi dan wawasan yang bersama bagi membangunkan negara kita secara bersama," katanya.

Bagi Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, idealisme baharu yang diangkat Perdana Menteri agar rakyat memahami erti perpaduan dan kemerdekaan, akan memastikan Malaysia dapat bersaing di peringkat antarabangsa dan muncul sebagai sebuah negara yang maju dan dihormati.

Katanya, pengertian mengenai merdeka dan perpaduan sangat penting kerana cabaran dan penghalang utama negara ketika ini ialah soal jati diri yang menyebabkan rakyat tiada keyakinan untuk bersaing sesama sendiri dan dengan masyarakat antarabangsa.

“Sebab itu, saya ingat cukup sesuai apa yang diungkapkan oleh Perdana Menteri supaya orang kita faham bahawa (ia) soal perpaduan. Ini sebenarnya bukan semata-mata mengenai politik, ia soal jati diri kita sendiri,” kata Ahli Parlimen Pandan itu. 

Turut senada, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu yang berharap agar amanat yang disampaikan dapat menyemai semangat patriotisme kepada seluruh warga Malaysia. 

Katanya amanat Perdana Menteri itu turut diharapkan dapat meniupkan semangat untuk masyarakat bersatu-padu dalam membina negara yang makmur dan harmoni.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang pula menyifatkan amanat pemimpin nombor satu negara itu sebagai mesej jelas bahawa Malaysia dibina daripada perpaduan masyarakat majmuk.

Beliau berkata konsep yang ditekankan Anwar mengenai jiwa merdeka perlu dihayati rakyat negara ini supaya tidak terkongkong dengan ‘perangkap silo sesuatu fahaman’ iaitu tidak merdeka dari segi mental.

“Amanat beliau sangat jelas untuk perpaduan negara. Kita kena sama-sama membina negara tanpa mengira kaum dan bangsa. Cukuplah berpolitik dan harapkan semua pihak membantu membina negara,” katanya.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming pula mengajak rakyat negara ini untuk mendukung seruan Anwar dalam usaha membina semula tanah air supaya dapat bangkit sebagai negara yang bersinar di arena antarabangsa.

”Saya percaya dukungan rakyat sangat penting untuk membantu kita (kerajaan) melakar kejayaan demi kejayaan seperti yang diinginkan Perdana Menteri tadi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Saraswathy Kandasami berkata rakyat Malaysia perlu mengambil serius amanat yang disampaikan Perdana Menteri yang mempunyai mesej yang sangat mendalam.

“Ia memberi makna baharu pada tahun ini dengan memberi keutamaaan kepada keharmonian,  perpaduan dan kemajuan sebagai tunjang utama negara,” katanya.

Terdahulu, Anwar ketika menyampaikan amanat Hari Kebangsaan 2023, antara lain menekankan pentingnya perpaduan dalam mempertahankan kemerdekaan negara bagi menggilap Malaysia sebagai sebuah negara hebat. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan