AM

BELANJAWAN 2024: KKDW BERI TUMPUAN TINGKAT PRASARANA DAN EKONOMI LUAR BANDAR, TVET

07/09/2023 04:41 PM

PUTRAJAYA, 7 Sept (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memberi tumpuan kepada usaha mempertingkatkan prasarana dan ekonomi luar bandar serta Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam Belanjawan 2024, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata perkara berkenaan adalah antara yang ditekankan dalam sesi libat urus Belanjawan 2024 bersama pemain industri dan pihak berkepentingan KKDW di sini hari ini.  

Dalam hantaran di laman Facebook beliau sempena sesi libat urus itu, Ahmad Zahid berkata beliau dan pasukan KKDW akan berusaha memastikan segala input dan cadangan sesi berkenaan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan serta dijadikan input kepada Belanjawan 2024. 

“Saya memberikan tumpuan dalam mempertingkatkan prasarana luar bandar antaranya dengan menaiktaraf kehidupan penduduk Sabah, Sarawak dan Orang Asli melalui pembinaan dan baik pulih ameniti sosial, menambah cakupan telekomunikasi dengan kerjasama Kementerian Komunikasi Digital dan membina rumah rakyat termiskin,” katanya.

Dalam sesi libat urus itu, Ahmad Zahid berkata KKDW juga memberi fokus memperkasa ekonomi luar bandar bagi menjana pendapatan penduduk luar bandar melalui pelancongan desa dan ‘mix farming’.

“Besar harapan saya untuk melihat KKDW berperanan secara efektif membimbing usahawan luar bandar supaya produk mereka dapat dinaiktaraf dan kemudiannya dipasarkan ke peringkat global. Tambahan lagi pasaran halal di peringkat global kini mencecah 3.3 trilion USD.

“Jumlah pasaran yang besar ini membuka ruang dan peluang kepada usahawan untuk menengahkan produk mereka setara dengan produk antarabangsa dengan syarat usahawan luar bandar mesti berani bersaing dan punyai semangat kompetitif dalam memasarkan produk mereka,” katanya.

Selain itu, beliau berkata bidang TVET amat penting dalam melahirkan pekerja berkemahiran tinggi sejajar dengan Revolusi Perindustrian 4.0.

Sesi libat urus hari ini dihadiri 120 peserta yang terdiri daripada wakil agensi kerajaan termasuk ketua jabatan dan agensi di bawah KKDW.

Ia turut dihadiri pemain industri termasuk persatuan perniagaan, dewan perniagaan koperasi, usahawan, pertubuhan bukan kerajaan dan ahli akademik berkaitan untuk memberikan input yang terbaik bagi mencapai objektif membantu rakyat khususnya masyarakat desa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan