AM

KUSKOP SOKONG KOPERASI SEKOLAH BERI PELUANG MURID BELAJAR ASAS KEUSAHAWANAN

14/09/2023 08:42 PM

PENAMPANG, 14 Sept (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menyokong usaha koperasi sekolah yang berterusan untuk memberikan peluang kepada murid-murid mengenali asas keusahawanan, kata Menterinya Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata usaha itu amat signifikan bagi merealisasi Dasar Keusahawanan Negara iaitu menjadikan Malaysia menjadi Negara Keusahawanan Menjelang 2030.

Katanya dasar itu membuka ruang kepada semua lapisan masyarakat untuk meningkatkan taraf hidup, dan kesinambungan dasar ini mampu menjadikan negara ini berdaya saing di peringkat global.  

"Oleh itu, saya berharap agar koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tansau menjadi salah satu medan untuk melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan murid-murid di sekolah ini," katanya ketika merasmikan penutupan Hari Koperasi SMK Tansau Berhad di sini hari ini.

Beliau berkata program tahunan berkenaan amat penting untuk memperkenalkan koperasi kepada warga sekolah dan masyarakat setempat.

"Hal ini amat bertepatan dengan tema sambutan hari koperasi pada hari ini iaitu ‘Memupuk Semangat Perpaduan Melalui Aktiviti Keusahawanan Koperasi Sekolah’.  Menerusi program seumpama ini juga, kepimpinan dan keterampilan murid dapat digilap. 

Kemahiran-kemahiran yang dikuasai ini secara tidak langsung menjadi asas untuk melahirkan pemimpin berwibawa yang bakal mewarisi masa depan negara pada masa hadapan," katanya.

Ewon juga menzahirkan ucapan tahniah kepada barisan pentadbir dan guru-guru yang telah memberikan komitmen yang jitu dalam memperkasa koperasi di sekolah berkenaan.  

"Saya menyaksikan kemeriahan sambutan Hari Koperasi pada hari ini sebagai manifestasi kepada iltizam semua pihak di sekolah ini untuk memajukan koperasi sekolah sekali gus menjana keuntungan seterusnya memberi manfaat kepada sekolah," tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan