SUKAN

Ltdl 2023: Latihan Daki Genting Highlands Berbaloi - Shaiful Adlan

27/09/2023 07:05 PM

GENTING HIGHLANDS, 27 Sept (Bernama) -- Sesi latihan pendakian ke Genting Highlands kepada barisan pelumba negara sebulan sebelum saingan perlumbaan Le Tour de langkawi (LTdL) 2023 membuahkan hasil kepada Muhammad Shaiful Adlan Mohd Sukri.

Ia selepas pelumba berusia 25 tahun itu menjadi pelumba terbaik menamatkan perlumbaan peringkat ‘Queen Stage’ dari Slim River ke Genting Highlands, sejauh 126.4 kilometer (km) di kedudukan ke-33 dengan catatan masa 3 jam 31minit dan 23 saat, hari ini.

"Semestinya latihan mendaki Genting Highlands ini membantu saya, walaupun kami sepatutnya melakukan dua kali pendakian.

“Selepas selesai latihan pertama kami tidak dibenarkan menjalani latihan kedua disebabkan pihak pengurusan hendak membetulkan jalan untuk persediaan perlumbaan LTdL," katanya ketika ditemui.

Mengulas mengenai kejayaan Peringkat Kelima hari ini, beliau berkata ia sekali gus berjaya menebus kekecewaannya tidak berjaya meraih penamat sempurna pada perlumbaan Peringkat Ketiga (Jeli-Baling) dan Peringkat Keempat (Bukit Mertajam-Meru Raya).

"Sebenarnya pada peringkat ketiga saya cuba untuk mendapatkan Jersi Putih (Terbaik Asia), malangnya pada jarak 30 kilometer (km) menuju ke garisan penamat saya mengalami kekejangan otot.

 "Saya sedar perlu menggalas tanggungjawab sebaik mungkin pada peringkat kelima ini kerana empat hari sebelum ini saya melalui laluan landai dan beralun, di mana kami lebih fokus kepada pakar pecut, Izzat Hilmi Abdul Halil, Muhammad Nur Aiman Rosli dan Zulhelmi Zainal,” katanya.

Esok, perlumbaan peringkat keenam meliputi jarak sejauh 174.5km, dari Karak ke Melaka melibatkan dua zon pendakian di Gapoi dan Luak Inas serta tiga zon pecutan di Pelangai, Batu Kikir dan Kuala Pilah.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan