AM

BERNAMA TV SIAR PROGRAM BUAL BICARA MISI D'OR 2024 SEMPENA SUKAN OLIMPIK

25/07/2024 04:24 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Rancangan bual bicara Misi d’Or 2024 (Misi Emas) sempena temasya Sukan  Olimpik Paris memulakan siarannya malam ini dengan episod pertama program berdurasi 30 minit itu menampilkan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh sebagai tetamu.

Program terbitan Benama TV yang dikendalikan oleh hos berpengalaman Syafiq Asyraf Zulkarnain akan bersiaran secara langsung selama setengah jam bermula 8.30 malam sepanjang 17 hari temasya Sukan Olimpik Paris.

Ketua Bernama TV Nor Hamzeela Md Hambali berkata Misi d’Or 2024 akan memberi hebahan mengenai perjalanan serta perkembangan semasa Sukan Olimpik Paris melibatkan atlet Malaysia dan antarabangsa.

"Ini adalah rentetan kejayaan Bernama TV menerbitkan program bual bicara liputan bola sepak Piala Asia Qatar 2023 - Hayya Asia pada Januari dan Februari tahun ini. Jadi kita bawa konsep program tersebut ke rancangan Misi d’Or 2024. 

"Kita mahu terlibat secara langsung bagi menyemarakkan semangat rakyat Malaysia dalam misi memburu pingat emas pertama di Paris," katanya hari ini.

Nor Hamzeela berkata tetamu jemputan lain yang bakal menghangatkan rancangan bual bicara Misi d’Or 2024 termasuk penganalisis sukan terkemuka Datuk Pekan Ramli dan Mohd Sadek Mustafa.

Tidak ketinggalan, beberapa bekas atlet negara yang pernah beraksi di pentas Olimpik seperti Roslin Hashim (badminton), Josiah Ng (berbasikal trek), Rizal Tisin (berbasikal trek) dan Wendy Ng (terjun).

"Kita akan turut berlintas langsung bagi mengikuti perkembangan terkini di Paris bersama dua wakil Bernama iaitu R. Vikneswaran dan Ahmad Iskandar Kamaruzaman yang kini membuat liputan di sana,”katanya.

Seramai 26 atlet akan menggalas cabaran negara di Paris dalam sukan olahraga, terjun, renang, memanah,  badminton, berbasikal, golf, pelayaran, menembak dan angkat berat.  

Misi d’Or 2024 bersiaran di Bernama TV sehingga 11 Ogos.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan