JENAYAH & MAHKAMAH

1Mdb: Sprm Siasat Beberapa Individu Antaranya Peguam Berkaitan Rasuah, Pengubahan Wang Haram

07/10/2023 02:51 AM

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat beberapa individu kerana disyaki terlibat dalam rasuah dan pengubahan wang haram semasa usaha pemulihan aset 1Malaysia Development Bhd (1MDB) oleh kerajaan.

Menurut sumber SPRM, seorang daripada mereka merupakan peguam didakwa menerima sejumlah wang yang dikatakan dilaburkan di dalam sebuah syarikat pelaburan tidak berlesen yang pernah diambil tindakan oleh Bank Negara Malaysia pada tahun 2021.

Sumber itu berkata, peguam terlibat juga sebelum ini dikatakan telah dilantik oleh 1MDB bagi menyelesaikan isu aset 1MDB dengan syarikat luar negara.

Menurutnya, pegawai SPRM telah hadir ke firma guaman terlibat hari ini bagi mendapatkan dokumen berkaitan penyiasatan itu.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan siasatan di bawah Akta SPRM 2009 itu serta kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

“SPRM juga menafikan kehadiran pegawainya ke premis peguam tersebut menyalahi mana-mana akta yang berkuat kuasa kerana pihaknya mematuhi peraturan serta menyedari privasi antara peguam terbabit dan klien-kliennya,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan