KUCHING, 7 April (Bernama) -- Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) memberi jaminan akan bekerjasama penuh dalam siasatan berhubung insiden yang mengorbankan dua guru pelatihnya pada Sabtu lepas.
Timbalan Rektor Pusat Hal Ehwal Pelajar IPGM Shamsul Saniron berkata selain itu, pihaknya akan memaklumkan perkembangan siasatan kepada ahli keluarga mangsa mengikut prosedur yang ditetapkan.
Beliau berkata buat masa ini, siasatan berhubung insiden itu masih dijalankan dan pihaknya tidak dapat mendedahkan butiran lanjut.
“Kami akan memberi kerjasama sepenuhnya sekiranya diperlukan dan hasil siasatan akan dimaklumkan kepada keluarga,” katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan jasad Christopher Ling Jia Siang di pusat kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching hari ini.
Sabtu lepas, pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Pendidikan Jasmani Christopher, 21, dan Joey Ling Lin Siang, 20, ditemukan lemas pada kira-kira 7.30 malam ketika melakukan aktiviti berkayak di Pantai Merdeka, Sungai Petani, Kedah.
Jasad Christopher, yang diterbangkan dari Pulau Pinang tengah hari tadi, tiba di Kuching pada 4.30 petang dan suasana pilu menyelubungi kawasan kargo apabila ahli keluarga, rakan serta warga pendidik berkumpul untuk memberikan penghormatan terakhir manakala Joey akan dibawa ke Sibu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial