AM

Kolej Ijn Harap Dinaik Taraf Ke Kolej Universiti Tahun Depan

14/10/2023 05:04 PM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Kolej Institut Jantung Negara (IJN) berharap permohonan untuk menaik taraf statusnya kepada sebuah institusi pendidikan tinggi bertaraf kolej universiti dapat direalisasikan tahun hadapan.

Ketua Eksekutif Kolej IJN Prof Dr Durrishah Idrus berkata permohonan itu telah dihantar kepada Kementerian Pendidikan Tinggi bulan lepas dan jika diluluskan institusi itu boleh menawarkan pengajian peringkat sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah.

“Kolej IJN kini sudah bersedia dari segi pentabiran dan pasukan akademik untuk menjadi sebuah kolej universiti. Dari segi fizikal, kemudahan dan prasarana sedia ada mampu menampung penambahan bilangan pelajar,” katanya kepada Bernama selepas istiadat konvokesyen kelapan Kolej IJN di sini hari ini.

Durrishah berkata kemasukan ke kolej IJN meningkat setiap tahun dengan pada masa ini terdapat 760 pelajar dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 1200 tahun depan.

“Daripada 760 pelajar IJN pada masa ini, kurang 10 peratus merupakan pelajar antarabangsa. Pengambilan pelajar antarabangsa dapat ditingkatkan selepas Kolej IJN menjadi kolej universiti,” katanya.

Beliau berkata sebahagian besar pelajar Kolej IJN ialah profesional yang sudah bekerja di pelbagai institusi kesihatan dalam dan luar negara, yang bercuti bagi menyambung pengajian di peringkat diploma, lepasan sijil dan diploma lanjutan.

Sementara itu, IJN dalam kenyataan memaklumkan sebanyak 46 graduan menerima sijil mereka hari ini termasuk 26 dalam Sains Kardiovaskular dan Torasik; Diploma Lanjutan Kejururawatan Jantung (empat); Diploma Lanjutan Kecemasan Kardiak dan Perubatan (tujuh); Diploma Farmasi (tiga) dan enam orang menerima Diploma Psikologi.

Kolej IJN ditubuhkan pada 2008 untuk memperkasa bakat perubatan menerusi pendidikan tinggi berkualiti dalan bidang tujahan sains kardiovaskular dan torasik, sains bersekutu dan sains sosial.

Setakat ini, kolej itu telah melahirkan 396 lulusan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan