DUNIA

Bekas Ketua Polis Yongsan Dihukum Penjara 3 Tahun Berkaitan Insiden Rempuhan Orang Ramai Di Itaewon

01/10/2024 02:39 AM

SEOUL, 30 Sept (Bernama-Yonhap) -- Sebuah mahkamah di Seoul pada Isnin menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun tanpa kerja berat terhadap bekas Ketua Balai Polis Yongsan kerana gagal mengambil langkah keselamatan terhadap bahaya yang boleh diramalkan dalam  insiden rempuhan orang ramai yang membawa maut pada 2022 di Daerah Itaewon, di sini.

Lee Im-jae, 54, didakwa pada tahun lepas atas tuduhan kecuaian profesional yang mengakibatkan kematian dan kecederaan selepas insiden rempuhan orang ramai yang terburuk dalam sejarah Korea Selatan mengakibatkan 159 orang terbunuh pada hujung minggu Halloween di kawasan hiburan malam Itaewon pada 29 Okt 2022, lapor agensi berita Yonhap.

"Adalah dijangka atau dapat diramalkan bahawa kumpulan besar orang yang berkumpul di lorong curam di Itaewon untuk Halloween 2022 boleh menyebabkan bahaya serius kepada tubuh akibat penolakan dan tekanan antara pejalan kaki," kata mahkamah itu.

Ketua Pejabat Ward Yongsan, Park Hee-young, dan beberapa pegawai lain juga didakwa, tetapi mahkamah yang sama mendapati mereka tidak bersalah dengan alasan bahawa undang-undang dan peraturan berkaitan tidak mewajibkan mereka menyediakan langkah keselamatan bagi acara tanpa penganjur.

"Rempuhan orang ramai daripada perhimpunan besar tidak dikategorikan sebagai bencana di bawah undang-undang berkaitan pada masa itu, dan tiada peraturan wajib yang menyatakan keperluan untuk menetapkan pelan pengurusan keselamatan berasingan untuk acara tanpa tuan rumah," kata mahkamah itu.

Menurut Yonhap, pihak pendakwaan mendakwa tertuduh gagal melaksanakan hak dan tanggungjawab mereka untuk mencegah insiden berkenaan walaupun kemalangan daripada kumpulan besar orang dapat dijangka, dan menuntut hukuman penjara tujuh tahun untuk Lee dan Park.

Bagaimanapun, tertuduh sepanjang perbicaraan mengekalkan bahawa rempuhan orang ramai berskala besar seperti itu tidak dapat diramalkan sebelumnya, justeru mereka tidak bertanggungjawab atas insiden berkenaan.

Setakat ini, 23 orang termasuk dua syarikat telah didakwa berhubung tragedi itu.

Berikutan keputusan mahkamah, ahli keluarga mangsa mengadakan sidang akhbar di hadapan mahkamah, mengecam keputusan yang membebaskan Ketua Pejabat Ward Yongsan daripada pertuduhannya, sambil menggesa pihak pendakwaan untuk merayu keputusan bagi kedua-dua defendan tertuduh bagi hukuman yang lebih tegas.

-- BERNAMA-YONHAP


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan