FOKUS BERNAMA

Kanak-Kanak Berisiko Diserang Vertigo

16/10/2023 12:15 PM
Daripada Atira Khalisha Nor Adnan

Seperti kebanyakan kanak-kanak, Amni (bukan nama sebenar) memang lincah dan gemar bermain terutama dengan rakan sebayanya, cuma sejak akhir-akhir ini, kelakuannya banyak berubah.

Dia menjadi pendiam, lebih suka duduk di rumah dan masanya banyak dihabiskan dengan berbaring, meskipun ada rakan yang datang memanggilnya untuk bermain.

Perubahan ini mula disedari ibunya dan apabila ditanya, Amni, 5, hanya mendiamkan diri namun apabila ibunya mengajukan soalan yang sama beberapa kali, baharulah dia memberitahu ibunya dia selalu berasa pening dan berasa seakan terumbang-ambing di dalam bot.

Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Penolong Prof Dr Norazwani Azwal berkata, apa yang dialami Amni itu disebut sebagai Vertigo.

“Apabila seseorang berasa persekitaran atau diri mereka sendiri atau kedua-duanya berpusing, bergoyang atau berputar. Itu adalah simptom atau gejala Vertigo. 

“Vertigo boleh berlaku akibat daripada suatu keadaan yang menjejaskan telinga dalam atau sebahagian daripada otak yang mengganggu keseimbangan badan.

“Gejala vertigo antaranya ialah sakit kepala, rasa loya dan muntah, berpeluh, telinga rasa berdengung, mata menjadi sukar untuk fokus sekali gus membuatkan seseorang individu itu hilang kesimbangan badan dan gagal mengawal pergerakan mereka, “ katanya kepada Bernama baru-baru ini dengan menambah, walaupun gejala ini lazimnya dikaitkan dengan orang dewasa namun kanak-kanak juga sebenarnya berisiko mengalaminya.

 

SIMPTOM VERTIGO

Simptom vertigo boleh menimpa kanak-kanak seawal usia kurang daripada dua tahun dan menurut Dr Norazwani yang juga pensyarah perubatan di UIAM, simptom tersebut bergantung kepada beberapa faktor, namun dua faktor utama yang biasa berlaku ialah ‘Vestibular Migraine’ dan ‘Benign Paroxysmal Positional Vertigo’ (BPPV).

"Vestibular Migraine adalah apabila pesakit diserang migrain dan mengalami vertigo. Ia boleh berlaku setiap hari atau seminggu sekali dan kita perlu kenal pasti dahulu apa yang mencetuskan serangan migrain dan bantu pesakit untuk menghindari penyebabnya. 

pic-2

“Ibu bapa perlu kenal pasti apa yang menjadi pencetus kepada migrain anak kecil mereka terutama sekali pemakanan kerana vertigo berkait rapat pemakanan. Sebagai contoh, jika anak alah kepada makanan berkeju, cuba elak atau kurangkan kerana ia mungkin punca  vertigo,” jelasnya.

Mengenai BPPV, beliau berkata, ia disebabkan oleh gangguan pada telinga bahagian dalam dan biasanya menyerang beberapa saat sahaja dan sering berlaku apabila seseorang bertukar posisi kepala secara tiba-tiba. 

“Beberapa saat sahaja (serangan vertigo), selepas tiga hingga lima saat ia akan kembali pulih. Tetapi nanti bila pesakit nak duduk atau berdiri (tukar posisi) ia akan dapat serangan vertigo semula,” katanya. 

Walaupun punca sebenar vertigo terhadap kanak-kanak masih tidak diketahui namun mereka yang bergejala harus dirawat segera berdasarkan punca kerana setiap serangan vertigo mempunyai kaedah rawatan berbeza.

Selain kanak-kanak yang terkena vertigo harus mendapatkan rehat yang cukup, Dr Norazwani berkata, pesakit boleh dirawat melalui pemberian ubat-ubatan selepas memeriksa punca sebenar di samping rawatan lain yang melibatkan terapi fizikal dan rawatan rehabilitasi.

Beliau berkata, biarpun simptom vertigo dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa hampir sama namun untuk mengenal pasti gejala itu pada kanak-kanak, ia lebih bergantung kepada umur mereka. 

“Jika sudah boleh bercakap, mereka boleh beritahu jika rasa nak muntah, kurang dengar atau rasa berpusing.

"Tetapi jika masih belum boleh bercakap, ibu bapa boleh mengesannya apabila ternampak mereka berjalan seperti tidak seimbang, terhuyung-hayang atau mata hitam bergerak-gerak," katanya menambah, pesakit yang mempunyai ahli keluarga dengan sejarah migrain biasanya akan cenderung untuk menghidap masalah vertigo yang berpunca daripada Vestibular Migraine dan BPPV.

 

SKRIN PERANTI PINTAR JADI PUNCA

Sementara itu, Presiden Persatuan Audiologis Kebangsaan Malaysia (MANSA) Prof Madya Dr Nor Haniza Abdul Wahat berkata, walaupun vertigo amat jarang berlaku kepada kanak-kanak namun ibu bapa dan penjaga tetap perlu peka dengan gejala itu.

Ini kerana katanya, kanak-kanak tidak faham sekiranya mereka mengalami vertigo, dan sudah tentu sukar untuk menceritakan sebarang simptom kepada ibu bapa.

pic-3

"Kes vertigo dalam kalangan kanak-kanak kurang diberi perhatian menyebabkan ibu bapa kurang cakna dalam hal ini. Disebabkan itulah ibu bapa dan penjaga kena sentiasa peka dengan perkembangan anak-anak mereka," katanya yang juga Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Menurut beliau, kanak-kanak pada zaman kini mudah terdedah kepada pelbagai peranti pintar dan berlaku banyak rangsangan visual yang menjurus kepada tercetusnya simptom vertigo. 

"Biasanya badan kita akan bergerak seiring dengan mata. Namun jika kerap menggunakan peranti pintar, pandangan kanak-kanak akan lebih tertumpu pada skrin dan mereka kurang bergerak. Ini menyebabkan otak mereka keliru hingga berlaku 'digital vertigo' atau 'cyber sickness'," katanya.

Beliau menambah, walaupun 'digital vertigo' adalah masalah baharu kepada simptom vertigo biasa yang dilaporkan pesakit, namun ia harus diberi perhatian serius oleh ibu bapa supaya kanak-kanak dapat membesar dengan tahap kesihatan yang terbaik.

Menurut beliau, Fakulti Sains Kesihatan UKM menawarkan kepakaran untuk menyaring, mendiagnosis dan mengendalikan masalah vertigo serta ketidakseimbangan pada bayi, kanak-kanak dan golongan dewasa sejak tahun 2011.

Turut sependapat dengan Dr Nor Haniza ialah Pakar Perunding Telinga, Hidung dan Tekak di Hospital Columbia Asia Malaysia Dr Nurhani Yasmin Abdul Rahman dan beliau memberitahu Bernama, tempoh masa melihat skrin peranti pintar boleh menyumbang kepada risiko terjadinya vertigo.

Ini, katanya, kerana ia boleh mengundang stres pada mata, tengkuk dan belakang selain menganggu pola tidur kanak-kanak. 

“Jadi, jika lebih lama mereka terdedah kepada skrin peranti pintar, lebih tinggi risiko untuk terkena vertigo," katanya menambah, antara langkah terbaik mencegah vertigo kepada kanak-kanak ialah dengan mengurangkan masa melihat skrin peranti pintar.

pic-4

Menurut Dr Nurhani Yasmin, sekiranya vertigo tidak dirawat, ia boleh memberi kesan jangka pendek seperti mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak itu sendiri mahupun orang lain.

“Katakan kanak-kanak itu sedang memegang benda tajam dan kemudian diserang vertigo secara tiba-tiba, ia boleh mencederakan orang di sekelilingnya kerana berasa berputar-putar itu.

“Bagi kesan jangka panjang pula, mereka boleh menghidap masalah kesihatan mental seperti depresi atau kemurungan.

“Kadang kala vertigo ini menyebabkan pendengaran mereka ada gangguan bunyi seperti ‘buzzing’. Jadi ia berlaku secara berlarutan dan akan mengganggu mental serta emosi. Ini secara tak langsung akan menyumbang kepada masalah depresi dan lebih teruk adalah kemurungan,” katanya.

 

PEKA PERUBAHAN SIKAP ANAK

Turut berkongsi pandangan, pakar psikologi kanak kanak Prof Datin Dr Mariani Md Nor berkata, perubahan sikap dan tingkah laku kanak-kanak disebabkan oleh banyak faktor luaran dan dalaman anak itu.

Menurut beliau, tidak mustahil juga disebabkan oleh ketidakselesaan yang terjadi dalam diri anak antarnya jika perlu dikaitkan dengan simptom seperti simptom vertigo.

pic-5

Mariani yang juga Presiden Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Malaysia berkata, kanak-kanak adalah kumpulan umur yang sangat aktif serta sentiasa bermain dan sekiranya mengalami vertigo, ini akan membataskan pergerakan seterusnya menjadikan mereka takut untuk melakukan aktiviti fizikal. 

"Kalau ada perubahan fizikal lain daripada kebiasaan, anak itu baring sahaja dan tidak aktif, segera rujuk pakar kanak-kanak. Biasanya kanak-kanak yang terkena vertigo tak boleh terlalu aktif seperti hari-hari lain.

"Kanak-kanak mungkin akan buat perangai kalau terkena vertigo kerana mereka tak selesa dan tak tahu macam mana nak luahkan. Jadi ibu bapa harus memainkan peranan bagaimana nak memujuk anak sebagai contoh beralih kepada aktiviti yang mereka minat yang tidak melibatkan banyak pergerakan dan dalam masa sama mendapatkan rawatan pakar," katanya.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

 

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan