AM

Kompleks Akademi Al Bayan Fokus Lahir Pendakwah Mualaf

16/10/2023 10:44 AM

ALOR GAJAH, 16 Okt (Bernama) -- Kompleks Akademi Al Bayan yang menumpukan untuk melahirkan pendakwah dalam kalangan anak mualaf akan dibangunkan di Kampung Pegoh, di sini dengan kos berjumlah RM25 juta.

Pengerusi Pertubuhan Akademi Al-Bayan Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan berkata kompleks yang menonjolkan tiga budaya itu akan dibina dalam dua fasa dan dijangka siap sepenuhnya pada 2025 sebelum menerima pelajar pada 2026.

Beliau berkata kompleks berkenaan dibangunkan di kawasan berkeluasan 0.81  hektar yang diwakafkan tiga individu bagi membantu usaha melahirkan lebih banyak pendakwah bermula pada usia muda.

"Kompleks Akademi Al Bayan akan dibangunkan mengikut seni bina Kesultanan Melayu Melaka yang melambangkan budaya Melayu selain menonjolkan budaya Cina dan India.

"Fasa pertama pembinaan akan melibatkan struktur bangunan melibatkan kos RM16 juta manakala pembangunan fasiliti atau kemudahan asas bagi menyokong kompleks berkenaan dianggarkan berjumlah RM9 juta," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Nur Mohammad Hadi berkata berkata kos pembinaan Kompleks Akademi Al Bayan disumbangkan orang awam dari dalam dan luar negara menerusi kutipan dana yang mendapat kebenaran daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dengan had kutipan sebanyak RM25 juta.

Beliau berkata akademi berkenaan dijangka dapat menampung kira-kira 300 pelajar dalam kalangan anak mualaf selain turut mempunyai kuota bagi anak asnaf dan anak yatim dari dalam dan luar negara.

Menurut Nur Mohammad Hadi pengajian agama atau dakwah di akademi berkenaan akan menggunakan sukatan pelajaran yang diiktiraf di peringkat Malaysia dan antarabangsa.

Selain menjadi pusat pengajian dakwah, Kompleks Akademi Al Bayan juga dijangka menjadi satu daripada produk pelancongan berasaskan ketamadunan Islam di Melaka.

"Kita jangkakan kompleks ini akan menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara yang ingin melihat seni bina Islam secara dekat khususnya pada 2026 sempena Tahun Melawat Malaysia," katanya.

-- BERNAMA  


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan