AM

Inisiatif Kps Celik Tarik Minat Pelajar B40 Dalam Stem

17/10/2023 09:19 PM

SHAH ALAM, 17 Okt (Bernama) -- Kumpulan Perangsang Selangor (KPS Berhad) melalui Inisiatif KPS Celik berjaya menarik minat kira-kira 20,000 pelajar sekolah menengah sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan untuk menyertai  Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Bagi menyokong dasar kerajaan Malaysia yang menyasarkan nisbah 60:40 sains kepada pelajar seni, Inisiatif KPS Celik telah diperkenalkan pada Julai 2023.

Pengarah Perhubungan Pelabur, Kelestarian dan Komunikasi KPS Berhad, Zul Mawardi berkata Inisiatif KPS Celik adalah program pembinaan kemahiran dan keupayaan komuniti, bertujuan untuk mendidik pelajar B40 menengah rendah, khususnya di penempatan FELDA, mengenai cara mengaplikasikan kaedah STEM dalam kehidupan seharian mereka dan menerusi pelajaran.

“Kami memilih 1,000 pelajar dari 20 sekolah untuk menyertai program ini secara langsung dan 20,000 lagi pelajar secara tidak langsung dengan mewujudkan aktiviti kurikulum yang menyeronokkan dan menarik melalui bengkel bersemuka interaktif dan aplikasi melalui aktiviti amali (hands-on),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zul berkata objektif utama inisiatif itu adalah untuk mempromosikan pendidikan STEM dalam kalangan pelajar sekolah menengah rendah B40 melalui bengkel sekolah dan kuiz merangsang intelek.

Sebagai program pembelajaran berasaskan projek, pelajar diberi masa enam minggu untuk membangunkan projek inovasi berasaskan STEM dengan pelajar akan memfokuskan kepada mana-mana daripada lima Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG) yang merangkumi kesihatan dan kesejahteraan yang baik, pendidikan berkualiti, kebersihan dan sanitasi air, tenaga berpatutan dan bersih, serta tindakan iklim.

Beliau juga berkata projek pelajar akan dipamerkan dan dipertandingkan dalam karnival STEM peringkat sekolah di 20 sekolah ini, mewujudkan satu lagi kesedaran limpahan STEM dalam kalangan pelajar lain.

“Projek yang dipamerkan semasa karnival STEM dinilai oleh panel hakim profesional," tambahnya.

Semasa pertandingan peringkat akhir pada 26 Sept lepas di Plaza Perangsang di sini, Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Besar Burhanuddin, Kuala Pilah, Negeri Sembilan dengan projek bertajuk ‘UCIN’s Maths’ telah dinobatkan sebagai johan KPS Celik Initiative 2023.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan