AM

SM Sains Bagan Datoh Juara Kejohanan Inisiatif KPS Berhad Celik 2024

30/08/2024 08:36 PM

SHAH ALAM, 30 Ogos (Bernama) -- Sekolah Menengah (SM) Sains Bagan Datoh, Perak menjadi juara pada pertandingan peringkat akhir Kejohanan Inisiatif KPS Berhad Celik 2024 yang diadakan di Pusat Sains Negara, semalam.

Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS Berhad) dalam satu kenyataan berkata pasukan  Epiphyllum-Q muncul sebagai pemenang keseluruhan dengan menewaskan pasukan lain daripada 20 sekolah terpilih di Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan menerusi projek mereka bertajuk Fish Catappa.

Mengikut kenyataan itu, Inisiatif KPS Berhad Celik 2024, pertandingan peringkat kebangsaan yang ulung merupakan antara komitmen syarikat untuk meningkatkan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan minda muda di negara ini.

"Membina atas asas dari tahun sebelumnya, inisiatif tahun ini menyaksikan 320 pelajar mengambil bahagian dalam program enam minggu dengan mereka membangunkan projek STEM inovatif yang menangani Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG) utama seperti kesihatan yang baik, pendidikan berkualiti, air bersih, tenaga mampu milik dan tindakan iklim.

"Inisiatif itu sampai ke kemuncak selepas satu siri Karnival STEM yang diadakan di sekolah pelajar sendiri bilamana projek mereka dipertunjukkan dan dinilai oleh panel juri profesional," kata kenyataan itu.

Ketua Pegawai Kelestarian KPS Berhad Zul Mawardi dalam kenyataan yang sama berkata kembalinya  Inisiatif KPS Celik telah terbukti hebat dengan idea kreatif dan segar daripada pelajar mengambil bahagian.

"Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan keupayaan akademik mereka tetapi juga memperkasakan mereka dengan kemahiran yang diperlukan untuk cabaran masa depan," katanya.

Diperkenalkan pada Julai 2023, Inisiatif KPS Berhad Celik sejajar dengan matlamat kerajaan untuk mencapai nisbah 60:40 pelajar sains kepada seni serta menyasarkan untuk mempromosikan pendidikan STEM dalam kalangan pelajar menengah rendah B40 melalui bengkel yang menarik dan pengalaman pembelajaran secara langsung.

Inisiatif KPS Berhad Celik yang merupakan aktiviti membina kemahiran dan keupayaan komuniti anjuran KPS Berhad dengan kerjasama Kementerian Pendidikan juga bertujuan untuk melengkapkan pelajar menengah rendah B40 dengan kemahiran praktikal STEM yang boleh mereka terapkan dalam kehidupan seharian dan pengajian mereka.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan