BERITA TERGEMPAR   Israel attacks several targets in Iran - International Media | 
 AM

Tragedi Gunung Cheroh: Mangsa Tak Pernah Jejak Kaki Semula Selepas Runtuhan

24/10/2023 02:58 PM

IPOH, 24 Okt (Bernama) -- Seorang mangsa runtuhan Gunung Cheroh yang terletak di Jalan Raja Musa Aziz di sini yang berlaku kira-kira 50 tahun lepas tidak pernah menjejakkan kaki ke kawasan itu kerana masih mengenangkan dua ahli keluarganya yang meninggal dunia akibat insiden berkenaan.

Joyah Saad, 61, yang berusia sembilan tahun ketika itu berkata beliau kehilangan bapa dan kakaknya yang sehingga kini masih belum ditemukan jasad mereka akibat tertimbus dalam runtuhan batu.

"Semasa kejadian, keadaan hujan lebat dan rumah kami ditimpa batu serta pokok besar. Akibat kejadian itu, bapa dan kakak saya tidak dapat diselamatkan, tetapi saya dan ibu sempat menyelamatkan diri.

"Selama berbulan-bulan saya asyik menangis dan tidak boleh menjejakkan kaki ke sini. Ini adalah kali pertama saya datang ke sini dan rasa sangat sedih," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pengkisahan Sejarah Runtuhan Gunung Cheroh: 50 Tahun Dalam Ingatan di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak A. Sivanesan.

Pada 18 Okt 1973, kejadian runtuhan Gunung Cheroh itu berlaku seminggu sebelum sambutan perayaan Deepavali dan telah meragut nyawa kira-kira 40 orang yang merupakan penduduk di sekitar kawasan berkenaan.

Sementara itu, Sivanesan ketika ditemui pemberita selepas majlis itu berkata kerajaan negeri akan membina tugu peringatan serta mini galeri khas bagi memperingati sejarah tragedi runtuhan berkenaan.

Beliau berkata tugu peringatan itu akan dibina dengan kos antara RM30,000 hingga RM40,000, manakala kos pembinaan bagi mini galeri masih belum ditentukan.

Dalam perkembangan lain, Sivanesan berkata sebanyak 14 gua batu kapur di sekitar Perak dikenal pasti belum mendapat kelulusan bagi pembinaan rumah ibadat.

Beliau yang mempengerusikan jawatankuasa Rumah Ibadat Gua Batu Kapur berkata kesemua gua batu kapur berkenaan kini sedang menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa sebelum ia diwartakan sebagai rumah ibadat.

"Setakat ini, kita (kerajaan negeri) dalam proses menunggu laporan keselamatan. Jadi selepas kita dapat laporan sepenuhnya, kita akan beri kelulusan.

"Kita hendak pastikan bahawa ciri-ciri keselamatan khasnya di gua batu kapur yang dijadikan sebagai rumah ibadat berada dalam keadaan selamat dan terkawal," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan