SUKAN

Act: Malaysian Tigress Ikat Korea Selatan 1-1

30/10/2023 11:14 PM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Skuad Malaysian Tigress bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Korea Selatan 1-1 dalam perlawanan ketiga Trofi Juara-Juara Asia (ACT) Wanita Ranchi 2023 di Stadium Hoki Marang Gomke Jaipal Singh Astroturf, India, hari ini. 

Nur Afiqah Syahzani Azhar menjaringkan gol penyamaan buat skuad negara menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-58, selepas Seo Suyoung meletakkan Korea Selatan di hadapan pada minit ke-35 juga dengan pukulan sudut penalti. 

Pengendali pasukan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berkata beliau berpuas hati dengan corak permainan yang ditampilkan pemain namun mengakui perancangan lebih rapi perlu diatur sebelum bertemu juara Sukan Asia, China, esok.

"Alhamdullilah kita dapat mata pertama daripada ACT, ia hasil kerjasama jurulatih dan pemain. Strategi yang digunakan menjadi hari ini apabila kita tukar beberapa struktur perlawanan terutamanya di bahagian pertahanan yang menyukarkan Korea Selatan menambah jaringan," katanya menerusi rakaman video yang dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) kepada media. 

Skuad negara memulakan kempen ACT Jumaat lepas dengan langkah kiri apabila tewas kepada Jepun 0-3 dan India 0-5 dalam perlawanan kedua pada Sabtu.

Malaysia akan melengkapkan round robin dengan menentang Thailand, Khamis ini sebelum empat pasukan teratas melayakkan diri ke separuh akhir.

Untuk rekod, pencapaian terbaik Malaysia pada ACT Wanita adalah pada edisi 2013 di Kakamigahara, Jepun, apabila menamatkan kempen di tempat ketiga selepas menewaskan China 3-1.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan