AM

Kkm Lihat Keperluan Beku Cuti Kakitangan Sebagai Persediaan Hadapi Banjir

05/11/2023 02:04 PM

SEGAMAT, 5 Nov (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) akan melihat keperluan terlebih dahulu sebelum membekukan cuti kakitangannya di seluruh negara sebagai persediaan dalam menghadapi banjir susulan Monsun Timur Laut ketika ini.

Menterinya Dr Zaliha Mustafa berkata buat masa ini, ia belum dilaksanakan lagi kerana masih tiada keperluan, selain kejadian banjir di negara ini agak terkawal.

Bagaimanapun, beliau berkata kementerian telah melakukan persediaan menghadapi bencana berkenaan daripada pelbagai sudut termasuklah menyediakan fasiliti dan ubat-ubatan.

“Setakat ini kita memantau, tetapi memang kita beritahu (perkara ini) kepada petugas. Saya rasa kebiasaannya ada (beku cuti) kita tengok daripada meteorologi dan sebagainya.

“Jika ada risiko banjir itu tinggi, akan berlaku banjir (dan ada) keperluan, kita biasanya akan bekukan tapi buat setakat ini, masih belum lagi,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri Mini Karnival Madani Afiat Zon Bukit Siput Segamat di Dewan Taman Fajar, Bukit Siput dekat sini hari ini.

Dr Zaliha berkata KKM juga sentiasa berwaspada dengan penyediaan makanan semasa banjir kerana sumber air, misalnya mudah tercemar dengan bawaan penyakit.

Berhubung penyakit tidak berjangkit (NCD), pihaknya agak bimbang kerana trend penyakit berkenaan seperti kencing manis dan darah tinggi semakin meningkat terutamanya dalam kalangan belia.

Justeru, katanya kementerian kini mengambil inisiatif dengan merendahkan umur saringan kesihatan daripada 40 tahun kepada 18 tahun. 

“Hasil pemeriksaan itu, KKM dapat melakukan langkah intervensi awal bagi mengurangkan risiko penyakit berkaitan,” katanya.

Mengenai program Mini Karnival Madani Afiat yang diadakan hari ini, beliau berkata ia bertujuan memberi kesedaran tentang penjagaan kesihatan dalam mencegah peningkatan NCD melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan, selain program Jualan Rahmah bagi penduduk di sekitar daerah itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan