SUKAN

Esi Peruntuk Dana Rm250,000 Untuk Komuniti E-sukan

15/11/2023 10:46 PM

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) --  Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Esports Integrated (ESI) memperkenalkan peruntukan khas 'Dana Esukan KBS' berjumlah RM250,000 untuk komuniti dan industri e-sukan tempatan.

ESI dalam satu kenyataan memaklumkan dana berkenaan bertujuan memberi galakan kepada penggiat industri e-sukan tempatan menganjurkan lebih banyak program, pertandingan dan acara serta merancakkan ekosistem e-sukan negara.

“Pertubuhan kecil, kelab, persatuan dan syarikat yang memerlukan bantuan dana bagi penganjuran program, pertandingan dan acara e-sukan dipelawa untuk memohon dana ini,” menurut kenyataan itu.

Menerusi dana berkenaan, antara skop permohonan ialah pengelolaan pertandingan atau liga yang tidak bersaing dengan permohonan dana KBS lain seperti Geran Padanan Sukan (GPS) dan Dana Sukan Komuniti (DSK), persediaan atlet untuk menyertai pertandingan selain temasya sukan anjuran KBS atau agensi kerajaan, penganjuran pameran dan pesta e-sukan serta pembiayaan visa.

Syarat ditetapkan termasuk syarikat atau organisasi mesti berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) manakala jumlah peruntukan maksimum dipertimbangkan setiap permohonan adalah hingga RM25,000.

“Semua program yang dipohon berdasarkan skop permohonan perlulah dianjurkan sebelum 31 Jan 2024,” menurut kenyataan itu.

Mana-mana pihak yang berminat memohon dana boleh mengisi borang  menerusi www.esportsintegrated.com sebelum 30 Nov ini.

 ESI ialah inisiatif menerusi KBS bertujuan memangkin ekosistem sukan elektronik yang rancak, inklusif dan mampan di Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan