AM

MALAYSIA TUAN RUMAH PERSIDANGAN ANTARABANGSA I-CHING TAHUN DEPAN

16/11/2023 05:14 PM

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Malaysia akan menjadi tuan rumah Persidangan Antarabangsa I-Ching bersempena hubungan diplomatik Malaysia-China ke-50 di Sungai Petani, Kedah diadakan sebelum pertengahan tahun depan.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata persidangan itu akan membincangkan secara khusus mengenai sejarah Lembah Bujang serta mendapatkan maklumat daripada sumber di China.

“Kita akan cuba membuat perbandingan fakta terbaru yang diperoleh menerusi persidangan ini mengenai Kedah Tua daripada maklumat sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri simposium  International  Committee for Museology Asia Pacific 2023 (ICOFOM ASPAC) di sini hari ini.

Sebelum ini, Aaron berkata sejarah mengenai Melayu lama telah dicatatkan dengan banyak oleh seorang tokoh China Bujannga Yi-Jing, yang pernah menjejakkan kakinya di Lembah Bujang pada abad ketujuh.

Sementara itu, Aaron berkata kementerian menerusi Jabatan Muzium Malaysia akan memperkenalkan garis panduan keselamatan dan tatacara pengurusan koleksi bertujuan meningkatkan kawalan keselamatan bagi mengatasi kecurian koleksi muzium di negara ini.

Menurutnya, pihak muzium pada masa ini membuat pengawasan melalui kamera litar tertutup (CCTV) dan limitasi pegawai atau petugas ke ruang repositori untuk mencegah kecurian.

Selain itu, beliau berkata Kementerian Perpaduan Negara akan memperkenalkan inisiatif Muzium Tanpa Tunai bermula Januari tahun depan secara berperingkat.

“Ini bagi mempromosikan pembayaran tanpa tunai dan ia akan dilaksanakan di Kuala Lumpur terlebih dahulu dan negeri lain dilaksanakan secara berperingkat,” katanya.

Terdahulu, penganjuran simposium antarabangsa ICOFOM ASPAC bertemakan Museums Towards Community Recovery merupakan platform perkongsian ilmu pengetahuan dan kepakaran dalam bidang permuziuman oleh profesional muzium ke arah kemampanan serta kesejahteraan muzium di peringkat antarabangsa.

Ia menyaksikan pembentangan oleh profesional muzium antaranya dari Malaysia, China, Scotland, Jerman, Thailand dan Singapura.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan