DUNIA

Thailand: Perayaan Krathong Kian Meriah Dengan Sentuhan digital

28/11/2023 09:35 PM

Oleh Linda Khoo Hui Li

BANGKOK, 28 Nov (Bernama) -- Dalam suasana penuh ceria di Ong Ang Walking Street di Bangkok pada Isnin, Surasak Phiosuphaphol menyambut perayaan Loy Krathong secara unik di tengah-tengah cahaya lampu berwarna-warni dan persekitaran ceria.

Berbeza daripada krathong tradisional yang diperbuat daripada daun pisang dan bunga, beliau memilih alternatif yang mampan dan mesra alam - krathong digital.

Menggunakan telefon pintar untuk menghasilkan krathong digital dan setelah berpuas hati dengan rekaanya, beliau mengimbas kod QR berdekatan dan memuat naik krathong digitalnya ke alam maya.

Wajahnya berseri-seri dan bangga menyaksikan krathong digitalnya terapung bersama yang lain.

"Amat menyeronokkan dan kreatif untuk menyambut Loy Krathong. Krathong digital menawarkan penyelesaian tanpa menjejaskan alam sekitar. Namun tetap mengekalkan semangat Loy Krathong sambil mengurangkan kesan alam sekitar," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata krathong tradisional tetap mempunyai keistimewaan tersendiri dalam budaya Thailand manakala sambutan krathong dengan sentuhan digital pula menawarkan pilihan yang lebih praktikal dan mesra alam.

Justeru, bagi meraikan Loy Krathong secara mampan pada masa akan datang beliau mencadangkan agar pihak berkuasa yang berkaitan mempromosi krathong digital.

Dalam perayaan Loy Krathong atau dikenali sebagai "Festival Cahaya," rakyat Thailand melepaskan krathong ke dalam air sebagai penghormatan kepada dewi air. Krathong biasanya dihiasi dengan bunga berwarna-warni, daun pisang, lilin dan kemenyan.

Seiring dengan Festival Loy Krathong, Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) menganjurkan pelepasan krathong digital menerusi "projection mapping”  di Terusan Ong Ang di Bangkok untuk mengurangkan pembaziran.

Peserta boleh memilih reka bentuk krathong pada kertas yang telah disediakan atau memuat turun ke telefon pintar mereka.

Mereka perlu mewarnakan krathong sebelum menghantarnya ke dalam sistem dan seterusnya menyaksikan krathong digital mereka 'terapung'. Kira-kira 4,000 krathong digital terapung di Terusan Ong Ang.

Pada masa yang sama, pekerja BMA mengumpul hampir 640,000 krathong selepas festival, termasuk 618,951 (96.7 peratus) diperbuat daripada bahan terurai seperti daun pisang, batang pokok, ubi kayu dan roti, dan 20,877 (3.26) diperbuat daripada stirofoam.

Jurucakap BMA Ekwaranyu Amrapann berkata pekerja bermula mengumpul krathong pada 8 malam (waktu tempatan) pada Isnin dan selesai pada 5 pagi Selasa dari Sungai Chao Phraya, terusan dan tasik di taman awam di Bangkok.

Jumlah krathong yang dikumpul sebanyak 639,828 berbanding 67, 226 tahun lepas, peningkatan sebanyak 67,226 atau 11.74 peratus.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan