EKONOMI

PERNIAGAAN THAI, PIHAK BERKEPENTINGAN DIGESA SERTAI SIDANG KEMUNCAK MALAYSIA-CHINA 2024

17/07/2024 11:39 PM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

BANGKOK, 17 Julai (Bernama) -- Perniagaan dan pihak berkepentingan di Thailand digesa mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024 (MCS 2024) untuk memanfaatkan bukan sahaja kehadiran perniagaan Malaysia tetapi juga kehadiran yang besar daripada industri China.

Pesuruhjaya Agung MCS 2024 Datuk Dr Tan Yew Chong berkata sidang kemuncak itu bertujuan membentuk hala tuju masa depan dalam perkongsian serantau, menangani isu penting yang akan memacu pertumbuhan ekonomi, kerjasama dan pembangunan di seluruh Asean.

“Memahami landskap Malaysia dan China boleh membantu perniagaan Thai memandu arah dan berkembang maju dalam pasaran ini,” katanya kepada Bernama selepas Siri Jaringan Libat Urus MCS 2024 di sini Rabu.

Beliau berkata MCS 2024 merangkumi lima tonggak strategik, iaitu teknologi masa depan (teknologi), mobiliti dan ketersambungan masa depan, peluang masa depan, pertumbuhan masa depan dan pengetahuan serta pengalaman masa depan.

“Kami menyasarkan untuk meraih potensi peluang perdagangan dan pelaburan bernilai RM2 bilion dalam tempoh tiga hari MCS 2024,” katanya.

Dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd, sidang kemuncak tiga hari itu bermula pada 17 Disember di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Menandakan ulang tahun ke-50 hubungan dua hala Malaysia-China, acara itu bertujuan untuk meningkatkan integrasi ekonomi dan kerjasama antara negara Asean dan China.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel berkata MCS 2024 merupakan platform penting untuk meningkatkan integrasi Asean.

“Ia memberi peluang yang tiada tandingan kepada perniagaan Thai untuk melibatkan diri, bekerjasama dan meneroka pertumbuhan baharu dengan rakan sejawat dari Malaysia, China dan negara Asean yang lain,” katanya.

Jojie berkata perniagaan Thai boleh berhubung dengan lebih 500 peserta pameran dan 10,000 pelawat perdagangan dengan menyertai sidang kemuncak itu.

“MCS 2024 akan memudahkan banyak peluang untuk perniagaan Thailand meluaskan jangkauan pasaran mereka, menjalin perkongsian strategik dan memperoleh pandangan berharga tentang trend dan teknologi baharu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan