AM

Bnm, Pdrm Serbu Lapan Premis Disyaki Jalankan Perniagaan Perkhidmatan Wang Tanpa Lesen

29/11/2023 05:42 PM

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerbu lapan premis di beberapa kawasan di Sarawak disyaki menjalankan kegiatan perniagaan perkhidmatan wang tanpa lesen yang sah serta berkemungkinan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.

BNM dalam kenyataan memaklumkan usaha itu adalah sebahagian daripada penguatkuasaan berterusan bagi melindungi orang ramai daripada menanggung risiko akibat berurusan dengan entiti tidak berlesen.

Premis yang diserbu pada semalam itu melibatkan masing-masing dua di Sibu, Selangau dan Batu Niah manakala satu di Mukah dan Bekenu.

Menurut BNM, kesemua premis berkenaan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011.

“Mana-mana individu yang melakukan kesalahan di bawah seksyen berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM5 juta atau dipenjarakan tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” menurut kenyataan itu.

BNM turut mengingatkan orang ramai bahawa adalah menjadi kesalahan bagi mana-mana pihak mengendalikan perniagaan perkhidmatan wang tanpa lesen yang sah daripada BNM.

"Senarai perniagaan perkhidmatan wang berlesen boleh diperoleh menerusi laman web BNM bnm.gov.my/licensed-msb-operators.

"Orang ramai turut disaran supaya hanya berurusan dengan perniagaan perkhidmatan wang berlesen bagi melindungi kepentingan kewangan mereka dan digalak melaporkan sebarang entiti tidak berlesen kepada BNM,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan