AM

Pasukan Sar Jangka Semua Mangsa Tertimbus Akan Ditemui Dalam Masa Terdekat

29/11/2023 06:28 PM

GEORGE TOWN, 29 Nov (Bernama) -- Kerja-kerja mengalihkan sisa runtuhan rasuk di tapak pembinaan gudang logistik di Batu Maung, Bayan Lepas, sudah 80 peratus siap, kata Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad.

Mohamed Usuf berkata kawasan kejadian perlu dibersihkan terlebih dahulu kerana berisiko membahayakan keselamatan anggota terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) selain memudahkan akses untuk mencari mangsa yang terlibat.

"Operasi SAR yang diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang telah bermula dari 10.30 malam tadi dan diteruskan sehingga kini bagi mengalihkan sisa runtuhan.

"Setakat ini (kerja-kerja mengalihkan rasuk dan sisa runtuhan) sudah 80 peratus siap dan jika semuanya selamat usaha mencari baki empat mangsa yang tertimbus akan dilakukan dalam masa terdekat. 

"Kita tidak boleh berkompromi dengan isu keselamatan kerana keadaan sangat bahaya di situ...jadi kita perlu pastikan kawasan runtuhan itu benar-benar selamat,” katanya kepada pemberita pada sidang media di lokasi kejadian di sini hari ini.

Bagaimanapun, Mohamed Usuf berkata masih terlalu awal untuk mendedahkan punca kejadian kerana siasatan masih dilakukan dan pihaknya perlu perincikan segala aspek termasuk siasatan daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

"Identiti empat mangsa yang masih tertimbus sedang dikemas kini namun maklumat awal, semua mangsa adalah lelaki warga Bangladesh berusia 22 hingga 46 tahun," katanya.

Terdahulu, Mohamed Usuf telah mengiringi Ketua Menteri Chow Kon Yeow untuk meninjau kawasan kejadian iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah mengeluarkan notis arahan berhenti kerja serta-merta kepada pemaju, jurutera dan arkitek projek pembinaan.

Dalam kejadian kira-kira 9.58 malam tadi, tiga pekerja pembinaan warga Bangladesh disahkan maut selepas gudang logistik yang dalam pembinaan itu runtuh manakala dua mangsa dilaporkan parah sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Zulfahmi Sutaji berkata empat mangsa berkenaan dikhuatiri sudah tertimbus di dalam lantai simen yang mengeras.

Jelasnya, ini berikutan ketika kejadian pekerja terbabit sedang melakukan kerja memasang lantai konkrit pada ketinggian 18 meter sebelum rasuk utama tiba-tiba runtuh menyentuh rasuk lain lalu menghempap kesemua mangsa.

"Kejadian sudah 12 jam berlalu dan simen berkenaan dibancuh pada 9 malam semalam. Kami bimbang cuaca ketika ini yang panas menyebabkan simen itu mula mengeras namun ia bukan berada dalam keadaan mampat," katanya ketika melawat lokasi hari ini.

Zulfahmi berkata setakat 2 petang tadi, sebanyak 60 hingga 70 tan sisa konkrit bersama besi telah dikeluarkan daripada kawasan runtuhan.

"Kita kena lebih berhati-hati untuk keluarkan struktur utama sebab beratnya hampir 30 tan dan takut ia menyentuh dan mengganggu struktur-struktur lain seterusnya mengundang risiko keselamatan di lokasi selain membahayakan anggota penyelamat," katanya.

Beliau berkata Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) dari Pulau Pinang, Kedah dan Perak bersama Unit Anjing Pengesan (K9) juga sudah bersiap sedia di lokasi untuk dikerahkan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Tapak binaan gudang logistik itu terletak di bahagian selatan Pulau Pinang dan bangunan itu merupakan kompleks perniagaan logistik tiga tingkat yang mempunyai pejabat, ruang parkir dan gudang.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan