SUKAN

​​skuad Harimau Malaya Di Landasan Tepat - Rajagobal

29/11/2023 10:10 PM

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Bekas jurulatih bola sepak negara Datuk K. Rajagobal berpandangan skuad Harimau Malaya berada di landasan tepat, selepas berjaya melakar dua kemenangan pada Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan, baru-baru ini.

Beliau berkata ia merupakan satu petanda yang positif dalam perkembangan arena bola sepak masa kini, serta berharap para pemain dapat meneruskan prestasi cemerlang mereka untuk pusingan kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia selepas ini.

“Sebagai bekas jurulatih, kita nak lihat satu pertukaran dalam aspek bola sepak dan segi permainan. Saya fikir ini (kemenangan) menjadi sebuah inspirasi dan motivasi bagi pemain,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media sempena Kejohanan Bola Sepak Remaja Antarabangsa Kelab Diraja Selangor (RSC)-Dato’ Chu Ah Nge.

Harimau Malaya berjaya melakar kemenangan ke atas Kyrgyzstan 4-3 pada 16 Nov dan Taiwan 1-0 pada 21 Nov lepas, pada aksi Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Dalam pada itu, Rajagobal juga tidak menafikan bahawa anak buah kendalian Kim Pan Gon dilihat lebih berkeyakinan, terutamanya selepas berpeluang berentap dengan pasukan yang mempunyai kekuatan dan ranking yang lebih tinggi.

“Kita lihat pasukan berbeza dan seronok lihat pemain bermain bersungguh-sungguh sehingga wisel penamat. Ia menunjukkan satu mentaliti dan komitmen yang baik…amat penting boleh nampak kepercayaan dan keyakinan mereka,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pembangunan bakat muda bola sepak, Rajagobal berkata semua pihak perlu mengambil tanggungjawab dan tidak hanya bergantung kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semata-mata.

Beliau berkata penganjuran program pembangunan seperti kejohanan bola sepak remaja anjuran Kelab Diraja Selangor (RSC) itu, perlu diperbanyakkan supaya dapat menjadi langkah permulaan mencungkil lebih banyak bakat muda dan seterusnya digilap ke peringkat yang lebih tinggi.

“Program atau pertandingan untuk peringkat remaja beri peluang jurulatih melihat potensi pemain masa depan. Jika seluruh Malaysia buat program sebegitu, ia akan jadi landasan untuk pemain muda tunjukkan bakat dan belajar sesuatu,” katanya.

Kejohanan Bola Sepak Remaja Antarabangsa Kelab Diraja Selangor (RSC)-Dato’ Chu Ah Nge edisi ke-17 itu, merupakan sebuah pertandingan bola sepak remaja yang melibatkan 80 pasukan dari enam negara iaitu Brunei, Indonesia, Singapura, Thailand, Vietnam dan Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan