AM

Sumbangan Pada Luar Waktu Hakiki Jadikan Seseorang Guru Lebih Hebat - M.magendran

30/11/2023 09:06 PM

SHAH ALAM, 30 Nov (Bernama) -- Pendaki pertama negara yang berjaya menakluk puncak Gunung Everest, Datuk M.Magendran menyifatkan sumbangan pada luar waktu hakiki menjadikan seseorang guru itu lebih hebat.

Magendran yang bersara wajib sebagai pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Sri Muda di sini berkata ini kerana mereka sanggup menghabiskan masa bagi melahirkan masyarakat berilmu dan berjaya.

“Satu perkara yang sering saya ingatkan kepada semua guru, mereka datang mengikut waktu mengajar dan apabila habis (selesai mengajar) mereka bebas untuk pulang. Kalau itu sahaja yang mereka buat… (ini bermakna) mereka menjalankan kerja hakiki. 

“Namun, apa yang menjadikan seseorang guru itu lebih hebat ialah sumbangan mereka di luar waktu hakiki. Apa yang mereka buat di luar waktu tugas mereka, itulah yang memberi gambaran bahawa mereka ini hebat dan sanggup menyumbang tenaga dan bakti untuk pembangunan masyarakat,” katanya.

Magendran yang akan bersara wajib berkuat kuasa 6 Dis ini ditemui pemberita selepas Majlis Semarak Budi Kilauan Bakti sempena meraikan persaraannya di sekolah berkenaan di sini hari ini.

Magendran turut menasihatkan guru supaya menjadi warga pendidik yang luar biasa bagi meningkatkan mutu pendidikan di negara ini, selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 yang direncanakan Kementerian Pendidikan.

Beliau berkata guru yang luar biasa pasti akan diingati setiap murid disebabkan komitmen serta tidak pernah berkira masa bagi memastikan seseorang murid cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum.

Ditanya mengenai perancangan selepas bersara, bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata setakat ini beliau hanya mahu memanfaatkan masa bersama keluarga memandangkan hampir 35 tahun kehidupannya diabadikan dalam dunia pendidikan.

Magendran berkata beliau turut ditawarkan berkhidmat sebagai pensyarah di sebuah universiti tempatan dan bekerjasama dengan syarikat pelancongan yang menawarkan kerjasama dalam pelancongan berkonsepkan aktiviti luar.

“Saya belum buat keputusan untuk pilih tawaran yang mana satu dan hanya ingin menghabiskan masa bersama keluarga,” katanya.

Magendran dan Datuk N. Mohanadas merupakan dua pendaki pertama yang berjaya mengharumkan nama negara setelah menawan puncak Gunung Everest pada 1997.  

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan