JENAYAH & MAHKAMAH

Rakaman Nota Suara Dakwa Katil Hospital Penuh, Kematian Bid Meningkat Ditular Semula

04/12/2023 12:33 AM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan satu nota suara yang mendakwa katil wad hospital penuh manakala kes kematian di luar hospital atau 'brought in dead' (BID) meningkat adalah rakaman lama yang pernah ditularkan pada 2021.

Kenyataan KKM di laman Facebook hari ini memaklumkan rakaman itu disebarkan secara berleluasa menerusi aplikasi WhatsApp untuk menimbulkan keresahan awam.

“Sehubungan itu, orang ramai dimohon untuk tidak menyebarkan berita palsu ini yang boleh menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat serta sentiasa berwaspada terhadap penularan wabak COVID-19 yang masih kekal di sekeliling kita.

“Pastikan anda mengambil langkah pencegahan kesihatan awam dengan sentiasa mengamalkan 3W, Elak 3S, lakukan ujian COVID-19 sekiranya bergejala, dapatkan vaksin COVID-19 termasuk dos penggalak serta dapatkan rawatan awal dan antiviral Paxlovid sekiranya positif COVID-19,” menurut kenyataan itu.

Pendekatan 3W adalah amalan kerap mencuci tangan dengan air dan sabun, memakai pelitup muka di tempat awam atau jika bergejala dan amaran KKM yang lebih berkonsep peringatan manakala Elak 3S ialah elak kawasan sesak, sempit serta berbual pada jarak dekat.

Rakaman itu turut mendakwa penularan wabak baharu dari Afrika telah menyebabkan kematian mendadak dalam satu masa.

-- BERNAMA 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan