FOKUS BERNAMA

Program Sukarelawan Zoo Inspirasi Kesedaran Pulihara Haiwan Liar

05/12/2023 02:22 PM
Daripada Soon Li Wei

Melihat mereka senyum dan memberi maklum balas positif sudah cukup menggembirakan hati saya, " demikian kongsi Lindsay Marston mengenai sukarelawan muda yang menyertai program kesedaran pemuliharaan haiwan liar di Zoo Chester, United Kingdom (UK).

Beliau yang bermula sebagai sukarelawan di zoo berkenaan pada tahun 2019 kini menyandang jawatan pengurus sukarelawan Zoo Chester.

Bernama berkesempatan menemu bual Marston baru-baru ini selepas sesi perkongsian mengenai Kesukarelawanan Zoo di Zoo Negara Malaysia di sini. Sesi ini adalah yang pertama dianjurkan Zoo Negara.

Menurut Marston, beliau mula menguruskan sukarelawan muda di Zoo Chester dengan menugaskan mereka melakukan pelbagai kerja.

pic-2

"Saya bertuah dapat jumpa ramai orang yang menyayangi haiwan, mahu melakukan sesuatu untuk haiwan liar dan masyarakat. Kami juga secara aktif menarik minat anak-anak muda di bahagian utara dan barat England dengan melakukan tinjauan pengetahuan mereka tentang pemuliharaan haiwan liar.

"Kesukarelawanan mempunyai impak penting ke atas orang ramai. Mereka berasa puas hati dengan apa yang mereka lakukan di samping meningkatkan kemahiran berkomunikasi serta keyakinan diri, menjadikan mereka lebih berkeyakinan. Ini semua bermanfaat untuk perkembangan peribadi mereka secara keseluruhan. 

"Program kami yang mereka sertai memastikan semua memenuhi kriteria sukarelawan, memberi sumbangan positif dan memperolehi pengalaman yang berharga," kata Marston yang juga ketua pasukan pendidikan dan pemuliharaan haiwan liar Zoo Chester. 

 

 

BANYAK MANFAAT KESUKARELAWANAN  

 

Sewaktu sesi perkongsiaan yang diadakan pada penghujung Oktober lepas, kedua-dua wakil Zoo Negara dan Zoo Chester bertukar-tukar pandangan mengenai program kesukarelawanan masing-masing.

Menurut Marston, pelan induk pemuliharaan haiwan liar 10 tahun Zoo Chester bertujuan mencegah kepupusan haiwan.

Pelan induk itu, kata beliau, memberi perlindungan kepada tambahan 150 spesies dan mengubah atau menyekat kemerosotan sekurang-kurangnya 200 spesies haiwan liar menjelang 2031.

Chester Zoo yang dinobatkan sebagai zoo terbaik UK dan keenam di dunia, pada masa ini mempunyai sebanyak 35,139 binatang, dan daripada jumlah itu, terdapat sekitar 500 spesies haiwan jarang jumpa dunia, dicatat pada tahun 2020. 

Angka berkenaan adalah yang tertinggi direkodkan sejak zoo itu dibuka lebih 88 tahun lalu. Ianya terdiri daripada 1,571 mamalia, 1,759 unggas, 339 reptilia, 677 amfibia, 6,739 ikan dan 24,054 serangga.

Beliau turut memberitahu sesi berkenaan bahawa pada tahun 2020, banyak kejayaan dicapai daripada usaha membiak haiwan yang terancam, menghasilkan ribuan kelahiran dan penetasan telur. Ini termasuk cimpanzi Asia Barat, anak lembu bongo Timur, orang utan Sumatera dan ribuan siput Bermudian.

pic-3

Menurut Marston, pada masa ini terdapat 13 orang belia berumur 18 tahun hingga 25 tahun dalam Lembaga Pemegang Amanah Zoo Chester yang menyumbang pandangan tidak ternilai untuk memanfaatkan program pendidikan haiwan liar di zoo berkenaan.

Beliau menambah, sejak tahun 2018, Zoo Chester memberi peluang kepada anak muda menjadi sukarelawan, membangunkan kemahiran peribadi, menjadi duta yang berkeyakinan untuk haiwan liar dan melakukan perubahan positif.

"Sukarelawan Belia menyertai pasukan kami dari umur 14 tahun dan ke atas menerusi skim kesukarelawan Duke of Edinburgh atau pertubuhan masyarakat seperti Ancora House dan  Youth Federation. 

" Amat menakjubkan melihat kejayaan mereka. Mereka menjadi lebih yakin dan mahir berkomunikasi dalam isu pemuliharaan yang rumit. 

"Sukarelawan belia menjadi contoh teladan untuk kanak-kanak serta golongan muda yang berkunjung ke zoo. Semuanya ini memberi sumbangan penting kepada masyarakat, " katanya menambah, sekitar  200 sukarelawan muda dilatih di bawah naungan Zoo Chester setiap tahun. 

Menurut beliau lagi, menerusi kesukarelawanan, sukarelawan muda mengkaji isu pemuliharaan dengan pengunjung zoo, membantu mereka memahami cara mereka boleh bertindak untuk kepentingan haiwan liar, dalam kehidupan harian mereka. 

"Mereka juga ditempatkan di habitat tertentu haiwan di zoo ini, sentiasa sedia untuk berkongsi dengan pengunjung fakta menarik dan membantu mereka mengesan beberapa haiwan liar yang suka menyembungikan diri.

"Kami yakin kepentingan kesukarelawanan dalam kalangan anak muda dan ini adalah peluang untuk mereka mencuba sesuatu yang baharu, berseronok dan membangunkan kemahiran baharu. 

"Program kesukarelawanan memberi anak muda ini tempat untuk berasa diri mereka dihargai dan menyokong mereka untuk mewujudkan hubungan yang positif," tambahnya. 

 

 

PRODUK MINYAK SAWIT LESTARI

 

Marston berkata, sebagai tambahan untuk mendidik mengenai pemuliharaan haiwan liar, sukarelawan muda juga didedahkan kepada kesedaran mengenai penggondolan hutan, terutama yang melibatkan spesies haiwan liar terancam seperti orang utan Borneo.

"Meskipun ia bukan kurikulum kebangsaan untuk belajar tentang penggondolan hutan dan kerugian kepelbagaian biologi, kami cuba mendedahkan mereka kepada bahaya yang dihadapi haiwan liar terancam akibat pemusnahan hutan untuk pembukaan ladang kelapa sawit, secara santai dan mudah difahami.

"Ini kerana semua isu ini rumit. Apabila kami bercakap tentang kerugian kepelbagaian biologi, perubahan iklim dan pemuliharaan haiwan liar, kami perlu melakukannya dengan cara mudah serta menarik untuk mereka faham. Ini juga membantu mereka untuk menjelaskan kepada pengunjung zoo akan kepentingan memastikan hidupan liar terancam boleh terus hidup," katanya.

Di samping itu, kata beliau, sukarelawan muda juga mampu memberi inspirasi kepada rakan mereka di sekolah serta anggota keluarga untuk memilih minyak sawit yang lestari dengan mengenal logo Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) dan logo Rainforest Alliance bagi beberapa produk kertas.

"Sewaktu mereka memperkenalkan orang utan Borneo, sebagai contoh, dan menjelaskan tentang spesies itu menurut Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), mereka juga menjelaskan bagaimana tindakan harian kita boleh membantu memberi impak positif untuk menyelamatkan haiwan yang terancam.

"Dengan menyokong produk minyak sawit yang mampan dengan logo RSPO, mereka sebenarnya membantu menghalang penggondolan hutan dan membantu masyarakat memainkan peranan menghalang kerugian kepelbagaian biologi," katanya.

Pada masa ini, di bawah IUCN, orang utan disenaraikan sebagai 'terancam kritikal'.

 

 

PELAN KERJASAMA  

 

Timbalan Presiden Zoo Negara Datuk Rosly @ Rahmat Ahmat Lana berkata, terdapat rancangan untuk meningkatkan perkongsian dengan Zoo Chester bagi mengadakan projek pendidikan serta pemuliharaan yang lebih mantap pada masa hadapan. 

Menurut beliau, Zoo Negara Malaysia juga akan bekerjasama dengan ahli lain Persatuan Dunia Zoo dan Akuarium (Waza) untuk projek yang sama.

pic-4

“Zoo Negara dan Zoo Chester adalah ahli Waza yang begitu berdedikasi dalam menjaga serta memulihara haiwan serta habitat mereka di seluruh dunia.

“Perkongsiaan yang sedia terjalin kukuh ini meningkatkan penanda aras untuk program masa depan kami di samping kemungkinan mengadakan kerjasama denga ahli Waza yang lain,” katanya.

Sementara itu, ketua pendidikan Zoo Negara Junaidi Omar berkata, pihaknya juga menggalakkan kanak-kanak sekolah, golongan remaja dan pelajar universiti serta orang awam melibatkan diri dalam program kesukarelawanan menerusi projek ‘Keeperku’.

Menurut beliau, ‘Keeperku’ membolehkan rakyat Malaysia berumur 13 tahun ke atas untuk meraih pengalaman secara langsung dalam pengurusan haiwan zoo.

Di bawah program itu, untuk tempoh separuh hari atau sehari, mereka akan dilengkapkan dengan kemahiran mencantikkan landskap zoo, mengurus kemudahan yang ada, haiwan di dalam kandang serta membersihkan kawasan awam.

“Program ini juga memberi peluang kepada sukarelawan untuk mengetahui kerumitan serta cabaran yang dihadapi penjaga haiwan ketika melaksanakan tugas mereka menjaga haiwan liar.

"Menerusi program ini, kami mahu masyarakat, terutamanya generasi muda belajar serta membangunkan rasa sayang terhadap haiwan.

"Apabila kita faham kerumitan serta cabaran dalam menjaga haiwan, dengan sendirinya akan timbul rasa sayang terhadap haiwan berkenaan," katamya. 

 

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan