AM

Ukm Ungguli Kps Ekovative Challenge 2023

06/12/2023 02:17 PM

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Pembungkusan pelindung 3D untuk peralatan elektronik direka oleh Team 3D PLABSTIC daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dinobatkan sebagai pemenang Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Ekovative Challenge 2023.

KPS dalam kenyataan hari ini memaklumkan kumpulan itu terdiri daripada Muhammad Alif Fitri Hanipa, Wan Nazihah Liyana Wan Jusoh, Siti Aisyah Syazwani Zaidi, Noor Fadhilah Rahmat dan Hikmah Bajunid Hariz, dibantu penasihat dan pensyarah mereka Prof Madya Dr Mohd Shaiful Sajab, membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, trofi dan sijil bagi inovasi cemerlang itu.

Pasukan CMEACES daripada Universiti Xiamen Malaysia (XIUM) dengan projek mereka bertajuk 'High-Performance Palm-Based Polyurethane Foam for a Green Future’ memperoleh tempat kedua manakala pasukan ERTHKONSHUS daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT) meraih tempat ketiga dengan idea inovatif mereka ‘Plastic Waste: Reimagined’.

"Peserta peringkat lain yang bertanding dalam pusingan akhir diadakan di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya adalah Green Sparks Fighters UKM dan ENVIROWRAP daripada Universiti Geomatika Malaysia (UGM)," menurut kenyataan itu. 

Menurut KPS, pertandingan itu memfokuskan pada menangani cabaran utama dalam pengeluaran kertas atau plastik secara mampan dan ciptaan peserta dinilai berdasarkan impak projek, kreativiti, kelestarian, kebolehlaksanaan, kebolehskalaan, skala geografi penggunaan dan pembentangan serta kepintaran mereka dalam perniagaan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Kewangan dan Perkhidmatan Korporat) KPS, Suzila Khairuddin berkata peserta ditugaskan cabaran mencipta protaip dan inovasi menggunakan bahan mesra alam alternatif, khususnya resin plastik termo, bagi menghasilkan penyelesaian mesra alam bagi pembungkusan industri daripada bahan berasaskan kertas atau plastik.

Beliau berkata KPS Ekovative Challenge adalah bukti komitmen dan tindakan KPS Berhad ke arah mencapai kelestarian sosial serta turut menyediakan platform kondusif kepada para pelajar universiti untuk menginovasi dan mengembangkan minda kreatif mereka menerusi sumbangan bermakna dan berimpak kepada alam sekitar.

Menurut kenyataan itu, KPS Ekovative Challenge terbuka kepada semua anggota masyarakat dan universiti swasta di Malaysia dan dijalankan dengan kolaborasi bersama Kementerian Pendidikan TInggi, SIRIM Tech Ventures  dan Century Bond Bhd, sebuah anak syarikat. .

"KPS Ekovative Challenge telah menarik 265 pelajar dari 23 universiti tempatan sejak dimulakan tahun lepas dan sehingga kini, ia telah menghasilkan 35 prototaip inovatif untuk membantu mencari penyelesaian kepada penggunaan plastik dan kertas yang mampan," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan