SUKAN

Final Piala Malaysia: Kelab Penyokong Hasilkan Kain Rentang Gergasi Untuk Tfc

07/12/2023 03:43 PM

MARANG, 7 Dis (Bernama) -- Bendera negeri dan kain rentang bersaiz gergasi memaparkan kata-kata semangat akan mengiringi pasukan Terengganu FC (TFC) untuk berjuang menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi final Piala Malaysia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) malam esok.

Pengerusi Kelab Penyokong Bola Sepak dan Futsal Terengganu Mohd Juslihadi Mohamad berkata pihaknya bertungkus-lumus menyiapkan bendera dan kain rentang bersaiz 15x15 meter itu sejak seminggu lepas dengan kos sebanyak RM3,000.

Beliau berkata walaupun terpaksa mengorbankan masa, tenaga dan wang, ahli-ahli kelab amat berpuas hati kerana dapat menzahirkan sokongan padu kepada pasukan kesayangan mereka.

"Komitmen yang ditunjukkan oleh ahli amat tinggi. Kami menyiapkan kain rentang dan bendera ini secara gotong-royong menggunakan wang kutipan ahli.

"Alhamdulillah walaupun dengan pelbagai kekangan, selepas seminggu hasil tangan kami ini dapat disiapkan dan akan terpampang di SNBJ malam esok," katanya ketika ditemui di Kampung Tebakang, Bukit Payung di sini hari ini.

Mohd Juslihadi berkata untuk perlawanan akhir kali ini, pihaknya membawa kira-kira 500 ahli kelab ke SNBJ dengan menaiki 10 bas dan beberapa kereta. 

"Tahun lepas kita turut hadir ke perlawanan akhir Piala FA yang juga menyaksikan pertembungan antara TFC dan JDT.

“Kami harap tahun ini TFC dapat bawa pulang piala dan menamatkan kemarau kemenangan," katanya.

Final Piala Malaysia 2023 mempertemukan juara tiga kali yang juga juara bertahan JDT dan TFC yang memburu kejuaraan kedua selepas kali terakhir memenanginya pada 2001.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan