AM

GISBH: Kanak-kanak Diselamatkan Perlu Diberi Pendidikan Sempurna

06/10/2024 02:33 PM

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) perlu diberi pendidikan yang sempurna agar tidak terus terjerumus kepada kesesatan seperti yang diisytiharkan.

Presiden Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata selain itu, perkara yang lebih besar adalah berhubung dengan penentuan nasab kanak-kanak tersebut.

“Sebagaimana yang disiarkan oleh media ada kemungkinan perkahwinan ibu bapa kanak-kanak tersebut tidak didaftarkan atau tidak mengikut undang-undang dan Hukum Syarak. Ini akan menyebabkan mereka mungkin menjadi anak tak sah taraf atau anak wat’ie syubhah (anak yang kesahannya diragukan).

“Dalam Hukum Syarak, anak sah taraf, tak sah taraf atau wat’ie syubhah mempunyai ramifikasi perundangan yang berbeza,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dari sudut syariah, pertama ia perlu dipastikan terlebih dahulu siapa ibu bapa biologi kanak-kanak tersebut dan ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) yang ketepatannya mencapai 99.9 peratus harus dilakukan bagi memastikannya.

Zainul Rijal berkata walaupun terdapat hak untuk menolak pungutan sampel DNA di bawah Seksyen 13(7) Akta Identifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) 2009 (Akta 699), namun pihak berkuasa boleh mengambil sampel orang yang disyaki, tahanan dan banduan untuk tujuan siasatan.

“Setelah dipastikan ibu bapa biologi, barulah dilihat kepada upacara perkahwinan ibu bapa tersebut sama ada mengikut undang-undang dan Hukum Syarak. Jika ia tidak mengikut undang-undang tetapi sah mengikut Hukum Syarak, suatu perintah dari Mahkamah Syariah mestilah diperoleh bagi mendaftarkan perkahwinan dan seterusnya sah taraf anak.

“Jika perkahwinan tersebut didapati tidak mengikut Hukum Syarak, mahkamah akan mengisytiharkan anak-anak tersebut sebagai anak tak sah taraf atau wat’ie syubhah,” katanya.

Beliau berkata selain itu, isu hak penjagaan kanak-kanak tersebut juga perlu diberi perhatian selain Majlis Agama Islam negeri mungkin boleh mengumpulkan dana untuk penjagaan kanak-kanak tersebut di pusat jagaan tertentu dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Walau apa pun status anak tersebut, kebajikan anak itu mestilah dipelihara.JKM mungkin tidak dapat menampung bilangan kanak-kanak yang terlibat, oleh itu tempat khusus mungkin perlu diwujudkan untuk mereka. Hal ini penting untuk menyahkan indoktrinasi yang selama ini dipegang oleh mereka,” katanya.

Zainul Rijal berkata selain itu, Jabatan Imigresen dan kedutaan Malaysia di luar negara juga berperanan untuk memastikan anak-anak Malaysia di luar negara yang terbabit dengan amalan dan kepercayaan GISBH dibawa balik dan diberi pendidikan yang sempurna.

“Walaupun berada di luar negara, kebajikan dan aqidah mereka perlu dilindungi. Mereka perlu segera dibawa pulang dan diberi bimbingan sewajarnya,” katanya.

Beliau dalam pada itu mahu kerajaan mengambil tindakan bersepadu dalam menangani isu GISBH  khususnya yang melibatkan kanak-kanak selain berharap mereka yang bertanggungjawab dihadapkan ke mahkamah.

Semalam, Pahang menjadi negeri ketiga selepas Perlis dan Selangor mengisytiharkan amalan dan kepercayaan GISBH yang dikaitkan dengan kegiatan eksploitasi kanak-kanak dan dakwaan doktrin ketaasuban agama itu sebagai menyeleweng dan sesat.

Polis melancarkan Op Global awal September lepas dan telah menyerbu rumah amal di seluruh Semenanjung yang dikaitkan dengan GISBH kerana disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.

Hasil serbuan, seramai 572 mangsa berjaya diselamatkan selain membawa kepada penahanan 359 pengikut GISBH termasuk pengurusan tertinggi syarikat tersebut.

-- BERNAMA\


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan