JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Kesan Bilal Disyaki Terlibat Curi Kabel

07/12/2023 07:03 PM

PEKAN, 7 Dis (Bernama) -- Polis mengesan seorang lelaki dikenali sebagai Bilal bagi membantu siasatan kes kecurian kabel di sekitar daerah ini dan Kuantan.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zin berkata Bilal yang berusia lingkungan 20-an dipercayai rakan sejenayah kepada tiga lelaki yang ditahan pada Sabtu lepas berkaitan kes sama.

“Pada Sabtu (2 Dis), polis telah menahan tiga nelayan berumur antara 28 hingga 35 tahun di Kampung Pahang Tua, di sini dan siasatan awal mendapati mereka terlibat dengan enam kes curi kabel di daerah ini.

“Justeru, polis sedang mengesan rakan mereka dengan nama panggilan Bilal untuk melengkapkan siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan di sini hari ini.

Menurut Mohd Zaidi, tiga nelayan terbabit mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah serta saringan air kencing mendapati mereka positif terhadap dadah.

Kesemua yang beralamat di Kuantan didapati mula bergiat dengan jenayah berkenaan sejak Mei lepas dan mereka akan menjual kabel yang dicuri di sebuah kedai besi di Kuantan.

“Mereka melakukan jenayah ini dengan menarik keluar kabel Telekom dari dalam lurang dan tiang kabel. Ketika tangkapan, polis menemukan tiga pemotong besi dan kabel yang disyaki dicuri serta merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda,” katanya.

Mohd Zaidi berkata kesemua mereka disiasat lanjut mengikut Seksyen 379/511 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Media sebelum ini melaporkan tiga lelaki dipercayai terlibat dalam kes mencuri kabel ditahan selepas dikejar polis sejauh kira-kira 35 kilometer dari tepi jalan simpang masuk ke Perumahan Dara Felda Chini 2 hingga jambatan Sungai Kampung Pahang Tua di sini.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan