DUNIA

Thailand Perkenal Inisiatif Pulihara Dan Promosi Songkran

08/12/2023 09:03 PM

Oleh Linda Khoo Hui Li

BANGKOK, 8 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin pada Jumaat memperkenalkan inisiatif untuk memulihara dan mempromosi Songkran bagi memastikan kelestarian warisan budaya negara itu dikekalkan.

Beliau berkata Songkran, festival tahun baharu tradisional negara itu, secara rasmi telah dimasukkan dalam Senarai Perwakilan UNESCO bagi Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan (ICH) pada Rabu dan merupakan suatu penghormatan kepada rakyat dan negara.

Langkah yang akan diambil di bawah inisiatif itu, termasuk memulihara, melindungi dan  mempromosi  tradisi Songkran bagi memastikan kemampanannya dalam kalangan generasi sekarang dan akan datang.

Usaha untuk meningkatkan kesedaran awam tentang nilai dan kepentingan Songkran sebagai Perwakilan Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan juga akan dilaksanakan.

"Songkran atau festival air akan membawa pelancong dari seluruh dunia ke Thailand sekali gus akan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan menjana pendapatan, meningkatkan ekonomi dan secara berterusan meningkatkan imej positif Thailand," kata Srettha.

Keputusan untuk memasukkan "Songkran in Thailand"  dalam Senarai Warisan Budaya UNESCO diambil semasa sesi ke-18 Jawatankuasa Antara Kerajaan untuk Pemuliharaan Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan yang berlangsung di Kasane, Botswana pada Rabu.

Songkran atau Tahun Baharu Thailand disambut dari 13 hingga 15 April setiap tahun.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan