SUKAN

Jwc: India, Pakistan, Dua Pasukan Terakhir Layak Ke Suku Akhir

09/12/2023 11:02 PM

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Juara dua kali, India dan juara edisi pertama, Pakistan menjadi dua pasukan terakhir mengesahkan tiket ke suku akhir Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki (JWC) 2023 selepas memenangi perlawanan terakhir kumpulan masing-masing, malam ini.

India, ranking ketiga dunia, membelasah Kanada 10-1 dalam perlawanan Kumpulan C di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini untuk mencabar juara Kumpulan D, Belanda pada peringkat lapan terakhir, Selasa ini.

India, juara edisi 2001 dan 2016, memulakan kempen menewaskan Korea Selatan 4-2 dan tewas 1-4 kepada Sepanyol untuk menduduki tempat kedua kumpulan dengan enam mata di belakang pendahulu Sepanyol (9 mata) manakala Korea Selatan di tempat ketiga dengan tiga mata dan Kanada tercorot tanpa sebarang mata untuk beraksi pada perlawanan klasifikasi tempat 9-16.

India berpesta gol dengan dua jaringan oleh Aidtya Arjun Lalage pada minit kelapan dan 43, Rohit (12’, 55’ ), Amandeep Lakra (23’, 51’)  Vishnukant Singh (42’), Rajinder Singh (42’), Saurabh Anand Kushwaha (51’) dan Uttam Singh pada minit ke-58.

Kanada memperoleh gol sagu hati menerusi Jude Nicholas pada minit ke-20.

Sementara itu, Pakistan, juara edisi 1979, bangkit daripada ketinggalan 1-0 untuk mengikat Belgium 1-1 untuk melangkah ke suku akhir, selaku naib juara Kumpulan D.

Belgium melakukan jaringan seawal minit ketiga menerusi pukulan sudut penalti oleh Jack Vloebergh sebelum Pakistan menyamakan kedudukan melalui percubaan sama Arbaz Ahmad pada minit ke-40.

Pakistan, yang seri dengan Belanda 1-1 dan menewaskan New Zealand 4-0, menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat kedua dengan lima mata manakala Belanda muncul juara kumpulan dengan tujuh mata dan Belgium di tempat ketiga (tiga mata) dan New Zealand tercorot tanpa sebarang mata.

Pakistan akan berdepan Sepanyol pada peringkat suku akhir manakala Belgium menentang Kanada pada perlawanan menentukan kedudukan keseluruhan.

Perlawanan menentukan kedudukan 9-16 akan bermula Isnin ini diikut perlawanan suku akhir pada hari berikutnya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan