AM

Peluang Kenali Kercang Pada Program Setahun Bersama Kerajaan Madani

10/12/2023 01:18 PM

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Kercang, sekali pandang nampak macam biasa, namun siapa sangka permainan tradisional masyarakat Orang Asli itu sangat menduga akal fikiran dan kesabaran sesiapa sahaja yang bermainnya. 

Diperbuat daripada rotan yang disusun secara berlapis-lapis mengikut peringkat kesukarannya, pemain perlu mengeluarkan tali yang ada di tengah-tengah kercang untuk mememangi permainan itu. 

Kunjungan ke reruai Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil memberi pengalaman baharu kepada Nursyamimi Atikah Saari,23, kerana berpeluang bermain kercang buat pertama kalinya. 

“Saya tidak pernah menyangka ada permainan tradisional yang sesukar ini. Saya sudah ulang 10 kali tetapi masih tidak dapat mengeluarkan tali daripada susunan rotan ini. 

“Hampir putus asa, mujurlah percubaan yang ke-11 ini berjaya, tetapi percayalah ia memerlukan akal fikiran yang cerdik dan kesabaran tinggi untuk menyelesaikan permainan,” kata pelajar Univesiti Malaya itu ketika ditemui Bernama.

Anak jati Jerantut, Pahang itu berkata meskipun berdepan cabaran dalam menyelesaikan permainan berkenaan, dia bersyukur kerana berkesempatan mengenali dan mempelajari permainan itu dan berasakan ia wajar diketengahkan kepada anak muda.

Atas sebab itu, Pembantu Muzium Jabatan Warisan Negara Suhamiah Yusof berkata pihaknya aktif mempromosikan permainan berkenaan pada program-program jabatan dan kementerian sejak beberapa tahun ini dengan harapan lebih ramai generasi baharu dapat mempelajarinya. 

Beliau berkata kercang dicipta masyarakat Orang Asli untuk mengisi masa lapang dan menajamkan fikiran anak-anak mereka yang tidak bersekolah, tetapi kerana perubahan zaman ia semakin dilupakan dan hanya ditonjolkan sebagai persembahan atau ketika menyambut kehadiran tetamu.

“Permainan ini tujuan utamanya adalah untuk mengeluarkan tali dari susunan rotan, umpama kita berusaha melepaskan diri daripada sesat di dalam hutan," katanya.

Suhamiah berkata terdapat lima jenis dan peringkat permainan kercang iaitu kercang kahwin, kercang panah, satu lapis, dua lapis dan tiga lubang.

"Kercang kahwin dicipta untuk memilih calon menantu… lelaki yang dapat menyelesaikan teka-teki ini akan dipilih untuk berkahwin dengan anak perempuan keluarga berkenaan," kata Suhamiah yang memaklumkan kercang telah diangkat sebagai warisan kebangsaan pada 2018.

Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI diadakan selama tiga hari bermula Jumaat dengan acara kemuncaknya ialah majlis perasmian penutupan yang dijadual disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 3 petang ini. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan